Mohd Jafni merasmikan Karnival TVET dan Kerjaya Perbandaran Kulai di Dewanraya Putra, Bandar Putra, Kulai hari ini.

KULAI – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memperkenalkan MyAduanJohor pada hujung tahun ini yang akan menerima aduan, melaporkan isu dan memantau kemajuan penyelesaian masalah terutama kemudahan awam.

Sistem Aduan Bersepadu Negeri Johor itu membolehkan orang ramai menghantar aduan terperinci dengan gambar serta maklumat lokasi tepat bagi memastikan penyelesaian yang lebih cepat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, MBJB merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini yang akan menggunakan sistem tersebut.

Jelasnya, platform itu menyatukan saluran aduan awam, media sosial dan PBT untuk membolehkan rakyat menghantar serta menjejak status aduan atau masalah yang dibangkitkan.

“Ini berbeza dengan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) iaitu berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang merupakan sistem sehala. Maksudnya (apabila menggunakan SISPAA) bila saya mengadu tentang jalan berlubang, saya takkan dapat maklum balas atau update.

“Tetapi sistem aduan yang dibuat oleh Johor kali ini adalah dua hala. Maknanya bila saya mengadu ada jalan berlubang, dalam masa yang sama kalau jalan itu jalan PBT atau jalan itu jalan JKR (Jabatan Kerja Raya), dia akan turun tapak, ambil gambar dan baiki segera dan akan hantar gambar kepada pengadu.

“Ini yang beza dia (antara fungsi SISPAA dan MyAduanJohor,” katanya dalam sidang akhbar selepas Karnival TVET dan Kerjaya Perbandaran Kulai di Dewanraya Putra, Bandar Putra di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini MBJB dalam peringkat percubaan untuk tempoh tiga hingga enam bulan dan apabila sudah sedia akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

Jelasnya, proses untuk memperkenalkan sistem baharu itu mengambil masa kerana memerlukan proses pemprofilan supaya maklumatnya nanti lengkap dan jelas.

Menurut beliau, ini bagi memastikan setiap aduan dapat dikenal pasti dengan tepat contohnya sama ada jalan bermasalah yang diadukan itu di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PBT, pemaju atau jalan persendirian.

“Jadi bila rakyat buat aduan, dia tak tahu ni jalan apa,” ujarnya dan memberitahu permohonan sudah dihantar kepada pihak Jabatan Perdana Menteri dan berharap sistem baharu itu diluluskan.

Beliau berkata, pihaknya nanti akan menghantar laporan bulanan dan berharap menerusi sistem baharu itu banyak isu akan dapat diselesaikan satu persatu.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Mohd Jafni merasmikan Karnival TVET dan Kerjaya Perbandaran Kulai di Dewanraya Putra, Bandar Putra, Kulai hari ini.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast