Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap ketika ditemui wartawan selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Negeri Sembilan di The Grand Lukut, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 27 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berharap pihak-pihak yang menyentuh mengenai institusi diraja dan istana ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dikenakan tindakan tegas segera.

Katanya yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, beliau tidak mahu pihak berkenaan hanya diambil tindakan selepas PRN kerana ia boleh menjejaskan maruah dan integriti institusi diraja.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa sedih apabila pihak istana Negeri Sembilan terpaksa mengeluarkan kenyataan meminta semua parti politik supaya tidak mengaitkan institusi itu dalam ceramah dan kempen PRN ketika ini.

“Saya cukup sedih, kerana ia menggambarkan seolah-olah Tuanku (istana) boleh diperkotak-katikkan oleh pihak lain, oleh DAP.

“Sedangkan kita sedia maklum bahawa institusi raja ini adalah satu institusi yang cukup dijaga bukan sahaja oleh orang Melayu, malah seluruh rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama ataupun keturunan menghormati insituti raja ini.

“Mereka setiasa menganggap bahawa institusi diraja ini adalah satu institusi yang harus dipertahankan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan, di Dewan The Grand, Lukut di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ditanya berkenaan kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali yang mana Istana Negeri Sembilan menegaskan, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terbabit dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

Azizi berkata, Istana Negeri Sembilan menasihatkan semua calon parti politik yang bertanding di dalam PRN Negeri Sembilan mengelak daripada memainkan isu berkaitan 3R (agama, kaum dan raja) dan sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri ini.

Sementara itu, Aminuddin melahirkan keyakinan rakyat Negeri Sembilan matang dalam menilai pihak-pihak yang memainkan sentimen 3R semata-mata untuk menarik sokongan politik.

Menurutnya, rakyat Negeri Sembilan mengharapkan parti politik menawarkan apa yang diperlukan untuk masa depan mereka, bukannya naratif perkauman yang keterlauan.

“Kita sendiri maklum bahawa kita telah bina negara ini dalam keadaan yang stabil, makmur dan sejahtera.

“Jadi apabila ada unsur-unsur sebegini (3R) memang tidak mendapat tempat di hati masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast