Kesemua mereka dibawa ke pejabat UNHCR di ibu negara.

PENAGA – Hampir 200 etnik Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak dipindahkan secara aman dari Kampung Kuala Muda di sini, semalam selepas persetujuan dicapai antara komuniti terbabit, penduduk tempatan, pihak berkuasa dan wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Pemindahan itu dikatakan bagi menamatkan kewujudan penempatan kecil komuniti Rohingya yang berkembang sejak lebih sedekad lalu di kawasan perkampungan nelayan berkenaan, dengan sebahagian keluarga dipercayai telah menetap hampir 20 tahun.

Difahamkan, komuniti Rohingya terbabit sebelum ini hidup secara harmoni bersama masyarakat tempatan dan jarang menimbulkan masalah.

Bagaimanapun, kebimbangan mula timbul apabila jumlah komuniti berkenaan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga penempatan terbabit berkembang daripada kira-kira 12 rumah sewa kepada 33 rumah.

Keadaan penempatan etnik Rohingya di Kampung Nelayan Kuala Muda di sini.

Penduduk Kampung Kuala Muda, Wan Nor Azian Wan Ibrahim, 43, berkata, tiga siri pertemuan diadakan membabitkan penduduk kampung, pemilik rumah, polis serta wakil UNHCR sebelum persetujuan dicapai supaya mereka meninggalkan kawasan itu pada 26 Julai.

Katanya, proses pemindahan berjalan lancar kerana semua pihak telah bersetuju dengan perkara itu sejak sebulan lalu.

“Tiada rusuhan, pertengkaran atau keganasan berlaku. Mereka mengemas barang dan meninggalkan kawasan ini secara aman.

“Penduduk tidak menganggap komuniti ini bermasalah, sebaliknya kebimbangan lebih kepada pertambahan jumlah mereka yang dikhuatiri memberi kesan kepada masa depan kampung,” katanya hari ini.

Wan Nor Azian.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan pihaknya terlibat dalam proses pemindahan tersebut namun hanya membantu melancarkan urusan berkenaan.

“Mereka mengadakan perpindahan. Polis hanya fasilitasi perpindahan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast