KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperluas usaha perkongsian ilmu dan kepakaran universiti kepada komuniti menerusi penganjuran Kursus Rekabentuk Kejuruteraan Marin menggunakan perisian autoCAD kepada pelajar sekolah Terengganu.
Program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK) ini diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Azlan Musa dan menggunakan Dana Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) 2026, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PPIJIM), UMT.
Kursus selama empat hari bermula 20 hingga 23 Julai lalu itu berlangsung di Makmal Komputer dan Makmal CAD, Bangunan Sains Nautika, UMT, melibatkan seramai 58 orang pelajar daripada lima buah sekolah menengah di Terengganu.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Rakit, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail, Sekolah Menengah Teknik Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman.
Menurut Mohd Azlan, penganjuran kursus ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang rekabentuk kejuruteraan marin serta aplikasi teknologi reka bentuk berbantukan komputer (Computer-Aided Design, CAD) yang digunakan dalam bidang kejuruteraan.
Melalui program ini, UMT membuka akses pembelajaran kepada pelajar sekolah untuk mempelajari asas penggunaan perisian autoCAD yang sering digunakan dalam bidang profesional kejuruteraan.
Jika kebiasaannya latihan AutoCAD ditawarkan melalui kursus kemahiran berbayar, inisiatif pemindahan ilmu oleh UMT ini memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengetahuan tersebut secara percuma sebagai sebahagian daripada usaha universiti berkongsi kepakaran dengan masyarakat.
Tambahan beliau, penggunaan perisian autoCAD dalam pembelajaran memberi peluang kepada pelajar untuk memahami bagaimana sesuatu idea atau konsep kejuruteraan diterjemahkan kepada bentuk reka bentuk teknikal yang lebih sistematik dan tepat.
Melalui latihan secara praktikal, pelajar dapat melihat bagaimana teknologi reka bentuk digunakan dalam menghasilkan penyelesaian kejuruteraan sebenar, katanya.
Beliau berkata, kemahiran menggunakan perisian reka bentuk seperti AutoCAD bukan sahaja membantu meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep kejuruteraan, malah memberi nilai tambah dari segi kemahiran teknikal yang diperlukan dalam bidang profesional.
Melalui pendekatan pembelajaran secara teori dan praktikal, pelajar dapat meningkatkan kemahiran dalam menghasilkan reka bentuk teknikal, memahami kepentingan ketepatan ukuran serta meneroka proses pembangunan sesuatu reka bentuk kejuruteraan sebelum diaplikasikan dalam situasi sebenar.
Selain meningkatkan kemahiran teknikal, program ini turut memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman pembelajaran di institusi pengajian tinggi serta mengenali kemudahan dan kepakaran yang terdapat di UMT dalam bidang teknologi kejuruteraan kelautan.
Sebagai kemuncak program, majlis penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK), Profesor Ir. Dr. Mohammad Fadhli Ahmad, yang turut menzahirkan penghargaan kepada pelajar dan pihak sekolah atas kerjasama menjayakan inisiatif pemindahan ilmu tersebut.
Sebagai universiti yang berteraskan bidang marin dan akuatik, UMT komited dalam memperluas pemindahan ilmu, kepakaran dan teknologi kepada masyarakat melalui pelbagai program libat sama yang memberi manfaat kepada generasi muda. – MalaysiaGazette
















