Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon PH N.01 Chennah, Anthony Loke (kanan) mendengar keluhan veteran ATM sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Simpang Durian, Jelebu. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2026.

CHENNAH – Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan kononnya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke akan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya PH memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah tidak berasas sama sekali.

Ia kerana Perlembagaan Negeri Sembilan sendiri menetapkan jawatan itu hanya boleh disandang oleh seorang Melayu, tegasnya.

Beliau berkata, naratif tersebut sengaja dimainkan pihak tertentu untuk menimbulkan kebencian serta ketakutan dalam kalangan rakyat menjelang hari pengundian, sedangkan kedudukan orang Melayu dalam sistem pentadbiran negara dan negeri telah dijamin oleh Perlembagaan.

“Yang di-Pertuan Agong orang Melayu, Perdana Menteri orang Melayu, Menteri Besar Negeri Sembilan pun orang Melayu. Apa lagi yang hendak dikempenkan? Baca dahulu Perlembagaan Negeri Sembilan. Menteri Besar mestilah orang Melayu.

“Nak jadi calon pun Perlembagaan tak baca, tetapi sibuk hendak hasut rakyat,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian, hari ini.

Anwar berkata, Kerajaan Madani tidak pernah mempertikaikan kedudukan orang Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya tanggungjawab kerajaan adalah memastikan hak yang dijamin kepada orang Melayu dan Bumiputera terus dipelihara, di samping membela kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Menurut beliau, keamanan serta kestabilan negara hanya dapat dikekalkan apabila setiap kaum diberikan ruang dan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kalau hendak Malaysia terus aman, majoriti Melayu mesti diberi tempat. Pemimpin utama mesti orang Melayu, itu asas negara kita.

“Tetapi orang Cina mesti diberi ruang untuk berniaga, menyumbang kepada ekonomi dan memegang jawatan yang sewajarnya. Anak-anak Cina mesti mendapat peluang belajar.

“Orang India, Orang Asli, Iban, Kadazan dan semua kaum juga mesti dibela. Barulah negara ini aman dan kuat,” ujarnya.

Anwar berkata, usaha melaga-lagakan rakyat dengan memainkan sentimen kaum tidak akan membawa manfaat kepada negara, sebaliknya hanya memecahbelahkan masyarakat yang telah sekian lama hidup dalam suasana harmoni.

Beliau berkata, rakyat perlu menilai sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi, integriti dan keupayaannya mentadbir bukannya mempercayai dakwaan yang sengaja direka untuk menimbulkan kebencian terhadap mana-mana kaum.

Menurutnya, Malaysia dibina atas semangat saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan pendekatan itu perlu terus dipertahankan demi menjamin kestabilan politik serta pertumbuhan ekonomi negara.

“Jangan ajak rakyat membenci antara satu sama lain. Negara ini akan kuat apabila semua rakyat merasakan mereka ada tempat dan masa depan di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pentadbiran negara.

Ini termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu, sambil memastikan setiap rakyat menerima pembelaan yang adil. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast