JEMPOL – Kerajaan komited untuk mewujudkan jawatan Pegawai Khas Hal Ehwal Orang Asli di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kewujudan jawatan itu penting bagi memastikan segala keperluan dan isu membabitkan masyarakat orang asli dapat diselaras serta diberi perhatian secara langsung di peringkat pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada menteri besar baharu daripada BN sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan.
“Kalau saya nak tawarkan lagi, saya akan minta menteri besar yang baru daripada Barisan Nasional mesti wujudkan Pegawai Khas Hal Ehwal Orang Asli di Pejabat Menteri Besar.
“Maknanya mudah sahaja (kerana) kalau kita satu hati, satu jiwa, semua boleh dibuat,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli di Kampung Orang Asli Batu Peti, Rompin, Jempol di sini hari ini.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beberapa negeri lain telah mempunyai pegawai khas yang menguruskan hal ehwal masyarakat orang asli di pejabat menteri besar masing-masing.
“Di Pahang, Perak ada pegawai khas orang asli di pejabat menteri besar…di Johor, saya dah telah beritahu Datuk Onn (Datuk Onn Hafiz Ghazi) saya kata kerana ramai orang asli di Johor semuanya.
“Jadi apa susahnya (hendak dilaksanakan) pegawai orang asli,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pegawai khas berkenaan boleh menjadi penghubung antara masyarakat orang asli dengan kerajaan negeri, termasuk mengenal pasti keperluan berkaitan pendidikan, kebajikan dan pembangunan.
Beliau bagaimanapun mendakwa masyarakat orang asli di Negeri Sembilan tidak mendapat perhatian sewajarnya sejak beberapa tahun lalu.
“Tetapi masalahnya yang daripada tahun 2018 hingga tahun 2026 ni dah jadi MB (menteri besar) tak buat, tak tolong orang asli ini pasal apa?
“Bukan saya kata tau, (tak tolong), bukan saya kata tau, ni orang asli kata,” tambahnya.
Beliau turut mengulangi komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memperkasakan masyarakat orang asli menerusi pelbagai inisiatif termasuk pindaan Akta Orang Asli, peningkatan akses pendidikan dan pembangunan infrastruktur.
Katanya, kerajaan mahu memastikan masyarakat orang asli menikmati pembangunan secara menyeluruh serta mempunyai lebih banyak peluang meningkatkan taraf hidup melalui pendidikan dan kemudahan asas. – MalaysiaGazette.
















