Antara minuman keras bernilai lebbih RM300,000 yang disimpan dan diedarkan disyaki tidak bercukai dalam satu serbuan ke atas sebuah kawasan parkir lori di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, petang pada Rabu

KUALA LANGAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menumpaskan satu kegiatan dipercayai melibatkan penyimpanan dan pengedaran minuman keras disyaki tidak bercukai selepas menyerbu sebuah kawasan parkir lori di Telok Panglima Garang, dekat sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan selepas dipercayai menjaga kawasan yang dijadikan lokasi penyimpanan minuman keras berkenaan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan awam mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan parkir lori.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima buah lori diparkir di kawasan berkenaan, namun hanya dua daripadanya didapati membawa pelbagai jenis minuman keras di ruang kargo belakang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan dan penyimpanan minuman keras yang ditemukan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua lori dirampas kerana menyimpan dan mengedarkan minuman keras disyaki tanpa cukai di kawasan parkir di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dalam satu serbuan petang Rabu.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan melibatkan pelbagai jenis minuman keras yang disyaki tidak bercukai bersama dua buah lori dianggarkan bernilai RM316,205.

“Kejayaan itu sekali gus menggagalkan cubaan sindiket dipercayai menggunakan kawasan parkir lori sebagai lokasi transit bagi menyimpan dan mengedar minuman keras tanpa membayar cukai,” katanya.

Menurut Jaffri, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu kesalahan berkaitan penyimpanan atau pemilikan barang larangan atau tidak bercukai, selain turut disiasat di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kesemua barang rampasan termasuk dua buah lori serta suspek diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, PPM menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyimpanan barang tidak bercukai.

“Ia bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah berpotensi membabitkan kegiatan jenayah terancang.

“Orang ramai turut diseru supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan atau penyimpanan barang tidak bercukai bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibanteras secara berkesan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast