KUALA LUMPUR – Prosiding pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadual berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini berkemungkinan diadakan di Institut Jantung Negara (IJN).
Ia kerana beliau masih menerima rawatan di pusat perubatan berkenaan.
Difahamkan, Ismail Sabri masih berada di IJN setakat pagi ini namun belum ada sebarang pengesahan rasmi sama ada prosiding akan dipindahkan ke hospital berkenaan.
Pagi ini, salah seorang pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri itu turut mengedarkan sekeping gambar yang memaparkan Ismail Sabri sedang menerima rawatan di IJN kepada MalaysiaGazette.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan berhubung keadaan kesihatan beliau atau jenis rawatan yang sedang diterima.
Tinjauan di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini mendapati pengamal media mula berkumpul seawal pukul 7 pagi bagi mengikuti perkembangan kes berprofil tinggi itu.

Semakan dalam sistem mahkamah sebelum ini mendapati Ahli Parlimen Bera itu dijadualkan dihadapkan di hadapan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen pada pukul 9 pagi.
Beliau dijangka berdepan pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkaitan siasatan terhadap pengisytiharan harta.
Sebelum ini, Ismail Sabri beberapa kali hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan tersebut.
Pada Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan terhadap Ismail Sabri menjurus kepada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau menerajui pentadbiran negara.
Dalam siasatan sama, SPRM dilaporkan merampas wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Rampasan itu dilakukan menerusi beberapa siri penggeledahan di beberapa premis termasuk kediaman dan lokasi yang dipercayai dijadikan safe house susulan siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan beliau.
Setakat ini, SPRM dan pihak mahkamah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung lokasi prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri itu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















