KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok, atas pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semakan dalam sistem mahkamah mendapati Ahli Parlimen Bera itu dijadualkan dihadapkan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada pukul 9 pagi.
Sumber memaklumkan, Ismail Sabri turut dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi tujuan siasatan sebelum proses pendakwaan dijalankan esok.
Difahamkan, pertuduhan yang akan dihadapi beliau adalah berkaitan kes pengisytiharan harta yang disiasat SPRM.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah beberapa kali hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap pengisytiharan harta yang dibuat beliau.
Pada Mac lalu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan terhadap Ismail Sabri menjurus kepada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau menerajui pentadbiran negara.
Dalam siasatan sama, SPRM dilaporkan merampas wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Rampasan itu dilakukan menerusi beberapa siri penggeledahan di beberapa premis termasuk kediaman dan lokasi yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, susulan siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini.
Pada 3 Mac lalu, SPRM turut merekodkan keterangan Ismail Sabri selepas beliau mengisytiharkan harta mengikut notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Sehingga kini, SPRM belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pertuduhan yang akan dikemukakan terhadap bekas Perdana Menteri itu esok. – MalaysiaGazette
















