KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan 14 struktur binaan tanpa kelulusan yang menghalang laluan kecemasan di lorong belakang antara Jalan Tun H.S. Lee dan Jalan Hang Lekiu, Petaling Street dalam operasi bersepadu Khamis lalu.
Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan itu membabitkan premis perniagaan termasuk kedai runcit, kedai barangan am, restoran, stor binaan serta struktur tandas dan dapur yang dibina di atas jalan dan laluan belakang.
Katanya, struktur berkenaan telah menjejaskan akses ke longkang awam sehingga menutup sepenuhnya laluan kecemasan di kawasan tersebut.
“Dalam operasi itu, sembilan struktur binaan yang menutup laluan kecemasan diruntuhkan termasuk lima struktur sengkuap (awning) yang dibina tanpa kebenaran.
“Tindakan itu diambil selepas pemilik premis gagal mematuhi notis penguatkuasaan yang sebelum ini dikeluarkan supaya struktur berkenaan dibuka atau tapak dikosongkan.
“Kesalahan berkenaan adalah di bawah Seksyen 46 dan Seksyen 69, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam kenyataan.

DBKL memaklumkan, kerja meroboh dan membersihkan kawasan dilaksanakan dengan lancar mengikut proses serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bersama agensi berkaitan.
Katanya, selepas ini DBKL akan menyelaras kerja-kerja membaik pulih laluan akses serta longkang awam di lokasi berkenaan.
Dalam pada itu, DBKL memberi jaminan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan laluan awam dan kecemasan tidak disalahgunakan. – MalaysiaGazette
















