Anwar Ibrahim merasmikan Jambori Pengakap Malaysia ke -15 di Stadium Pulau Pinang, hari ini

GEORGE TOWN – “Saya dulu budak pengakap”.

Pengakuan ringkas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sekadar nostalgia zaman persekolahan sebaliknya menjadi antara sebab beliau percaya disiplin, semangat dan daya juang yang dimiliki hari ini turut dibentuk menerusi penglibatannya dalam dunia pengakap.

Perdana Menteri berkata, pengalaman menyertai pengakap ketika di bangku sekolah mengajarnya nilai yang kekal relevan dalam menghadapi cabaran semasa.

“Saya akan ditanya, Anwar, dari mana belajar disiplin, semangat dan daya juang? Saya jawab di antaranya kerana saya terlibat dalam dunia pengakap masa di sekolah dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Jamboree Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) yang menghimpunkan lebih 6,000 peserta dalam dan luar negara di Stadium Pulau Pinang hari ini.

Menurut Anwar, dunia kini bergerak pantas seiring perkembangan teknologi maklumat, digital dan kecerdasan buatan (AI) namun perubahan itu tidak bermakna masyarakat boleh melupakan akar budaya dan nilai membentuk jati diri.

“Dalam kita membawa perubahan itu, kita tidak boleh terlepas daripada akar budaya kita dan inilah yang menjadi tema dalam jambori kali ini,” katanya.

Jelasnya budaya, disiplin, semangat jati diri dalam kalangan ahli pengakap sekali gus meningkatkan pembangunan negara.

Anwar berkata, prinsip pengakap be prepared juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas iaitu kesediaan menghadapi ujian dan cabaran kehidupan.

“Bila kita katakan be prepared, maknanya apa? Bersedia menghadapi ujian dan cabaran,” katanya.

Anwar Ibrahim merasmikan Jambori Pengakap Malaysia ke -15 di Stadium Pulau Pinang, hari ini

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Pengakap Malaysia dan Pengakap Pulau Pinang atas penganjuran MYJAM15 pada tahun ini.

Jambori berkenaan turut menjadi platform memperkukuh semangat persaudaraan, kepimpinan dan pembentukan sahsiah dalam kalangan generasi muda selari dengan prinsip pengakap yang menekankan disiplin, khidmat dan kesiapsiagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here