Dr Anuar Ahmad. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berpandangan pakaian sekolah sepatutnya turut dikategorikan sebagai barangan kawalan harga.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM itu berkata, ia bagi memastikan harga baju sekolah itu tidak meningkat setiap kali tibanya musim pembukaan sekolah.

“Kawal harga baju sekolah adalah tindakan yang wajar dan membantu rakyat.

“Tentunya kerajaan perlu bina mekanisme dan garisan panduan yang jelas untuk kawal harga baju sekolah sebab baju sekolah pun ada kualiti kain yang berbeza,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pembelian pakaian seragam sekolah secara ansuran menerusi ‘Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Mahir’ merupakan inisiatif bagi meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak.

Menurut Fadhlina, inisiatif tersebut turut membuka peluang pendapatan serta memperkasakan usahawan tempatan yang dibimbing menerusi NADI selain membantu keluarga mendapatkan keperluan persekolahan dengan lebih mudah.

Sementara itu, Anuar berkata, beliau menyokong penuh apa jua usaha yang diambil kerajaan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa bagi tujuan pendidikan anak-anak.

Menurutnya, inisiatif membeli baju sekolah secara ansuran adalah usaha yang baik selagi harganya dijamin masih sama atau lebih murah berbanding harga baju sekolah di pasaran.

Namun, ujar beliau, sekiranya harga pakaian sekolah itu lebih mahal walaupun sedikit kerana dibayar secara ansuran, idea itu tidak patut dilaksanakan.

“Saya punya pandangan yang berbeza. Beli baju sekolah anak-anak ini macam kita beli ayam, daging, minyak masak atau tepung sebelum raya.

“Bila tiba musim perayaan, permintaan meningkat, maka harga biasanya akan juga meningkat.

“Sebab itu kita ada undang -undang kawalan harga barangan asas supaya tidak membebankan rakyat.

“Baju sekolah pun sama. Bila tiba musim sekolah dibuka, ibu bapa akan mula membeli.

“Pembelian begini meningkatkan permintaan secara mendadak.

“Harga berkemungkinan besar akan ikut meningkat,” katanya.

Sementara itu, Anuar turut mencadangkan supaya kerajaan mengesyorkan kepada para pengilang supaya mengeluarkan jenama ‘Uniform Sekolah MADAN’ yang mampu milik.

“Ini jauh lebih baik dari didik rakyat berhutang untuk tujuan berbelanja pakai habis,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast