KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tegas menafikan satu hantaran tular di media sosial yang memaparkan visual dan teks seolah-olah Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara mengadakan sidang media khas di Bukit Aman berkaitan pelaksanaan satu operasi polis.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hantaran yang disebarkan menerusi sebuah akaun Facebook itu adalah palsu dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara tidak pernah mengadakan sidang media atau mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang digambarkan dalam hantaran berkenaan.
“Kandungan yang disebarkan telah menggunakan imej dan identiti palsu serta kedudukan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bagi mewujudkan gambaran seolah-olah kenyataan tersebut merupakan pendirian rasmi PDRM,” menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau, tindakan sedemikian berpotensi mengelirukan masyarakat, mencetuskan salah faham serta menjejaskan kredibiliti individu dan institusi pasukan keselamatan itu.
Sehubungan itu, PDRM telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan kandungan berkenaan.
Siasatan turut akan meneliti motif serta tujuan di sebalik penyebaran kandungan palsu tersebut.
Mohamad Noor berkata,PDRM memandang serius sebarang tindakan menghasilkan, memanipulasi atau menyebarkan kandungan palsu dengan menggunakan identiti, imej atau kedudukan mana-mana pegawai dan anggota pasukan bagi memberikan gambaran bahawa sesuatu kenyataan atau tindakan adalah rasmi.
Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya serta mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi PDRM dan sumber berita yang sahih.
PDRM turut menyeru masyarakat menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam penyebaran kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette
















