GEORGE TOWN – Dua pengarah wanita sebuah syarikat pembuatan roda kastor (besi troli) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan gagal membayar cukai jualan dan penalti berjumlah RM193,306.28.
Kedua-dua mereka selaku orang kena saman, Lim Hooi Cheng, 54, dan Karen Loo, 40, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan kedua-dua mereka didakwa melakukan tujuh kesalahan bagi tempoh bercukai antara Januari 2024 hingga Februari 2025, membabitkan kegagalan membayar cukai jualan bernilai RM193,306.28.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 kerana melanggar Seksyen 26(5) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Mohamad Syafiq Abdul Aziz manakala Karen diwakili peguam P. Gandhi.
Bagaimanapun, Hooi Cheng tidak diwakili peguam ketika prosiding berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta bagi tujuan lantikan peguam bagi Hooi Cheng. – MalaysiaGazette
















