KUALA LUMPUR – Pelabur institusi tempatan meneruskan trend belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM451.1 juta pada minggu lalu.
Manakala pelabur asing kembali mencatatkan jualan bersih selepas merekodkan belian bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM437.3 juta minggu lalu.
MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada satu daripada lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan, dengan satu-satunya aliran masuk direkodkan pada Rabu sebanyak RM53.7 juta.
Sementara itu, aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Jumaat (-RM238.0 juta), diikuti Khamis (-RM175.3 juta), Isnin (-RM57.9 juta) dan Selasa (-RM19.8 juta).
Menurutnya, tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah pengangkutan & logistik (RM97.6 juta), pembinaan (RM48.1 juta) dan hartanah (RM5.8 juta).
Sebaliknya, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing terbesar ialah perkhidmatan kewangan (-RM173.5 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (-RM115.2 juta) dan perladangan (-RM92.2 juta).
Begitu juga dengan pelabur runcit yang meneruskan trend jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM13.8 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh dengan keseluruhan dagangan pelabur runcit meningkat 35.4%, manakala institusi tempatan meningkat 24.1%.
Bagaimanapun, jumlah dagangan pelabur asing susut 5.2%. – MalaysiaGazette
















