GEORGE TOWN – Sebuah syarikat pembinaan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas gagal memastikan bukaan lantai di tapak binaannya di Jalan Lim Lean Teng dihadang dengan sesuai bagi mengelak risiko orang terjatuh dari tempat tinggi.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Lo Chee Leong selaku pengarah C.Y.C. Management Sdn. Bhd. selepas meneliti fakta kes berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak binaan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Chee Leong selaku kontraktor kerja pembinaan didakwa gagal memastikan semua bukaan lantai yang boleh mendedahkan mana-mana orang kepada risiko terjatuh dihadang dengan sesuai dan secukupnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Februari 2025, kira-kira jam 11.30 pagi di C.Y.C. Management Sdn. Bhd., Lot 3402 (Lot Lama 2756), Seksyen 6, Jalan Lim Lean Teng dalam daerah Timur Laut di sini.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Peraturan 19(3), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 19(6) peraturan sama.
Peraturan berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Chee Leong memohon supaya mahkamah mengenakan denda minimum dengan mengemukakan gambar lokasi berkenaan yang menunjukkan tindakan pembaikan telah dibuat terhadap perkara yang didakwa menjadi kesalahan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Khairul Nizam Mat Piah mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM25,000 sebagai pengajaran kepada orang kena saman (OKS) selepas mengambil kira faktor kepentingan memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dipatuhi di tapak binaan. – MalaysiaGazette
















