SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) segera mengenal pasti tanah rintis dan tanah rizab yang masih kosong untuk dimanfaatkan sebagai kawasan pertanian bandar bagi mengelak ia dikuasai warga asing.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, tanah yang dikenal pasti perlu dipohon untuk pajakan supaya penggunaannya dapat disusun dan dikawal termasuk melalui projek kebun komuniti, program pertanian kerajaan atau penglibatan pihak swasta.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan tanah kosong di kawasan bandar tidak terbiar selain mempunyai nilai ekonomi sekiranya dimanfaatkan untuk aktiviti pertanian bernilai tinggi.
“Kerajaan negeri telah meminta PBT mengenal pasti tanah-tanah rintis dan membuat permohonan pajakan supaya ia boleh digunakan untuk kebun komuniti, program pertanian atau dimanfaatkan pihak swasta yang berminat.
“Ini termasuk PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) dalam melaksanakan program pertanian supaya penggunaannya lebih teratur dan tersusun,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) berhubung cadangan supaya tanah rintis yang masih kosong diberikan kepada PKPS untuk melaksanakan program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Cadangan itu turut dikaitkan dengan keperluan mengelak kawasan berkenaan dikuasai warga asing yang menjalankan aktiviti pertanian secara tidak tersusun.
Isu berkenaan timbul susulan maklumat sebahagian bekalan sayur ke Pasar Borong Selayang diperoleh daripada warga asing yang menjalankan kegiatan pertanian di tanah rintis.
Izham juga berkata, beberapa PBT termasuk Petaling Jaya telah melaksanakan usaha berkenaan secara berperingkat bagi mengoptimumkan penggunaan tanah kosong di kawasan bandar.
Katanya, kawasan rintis di Johan Setia, Klang misalnya mempunyai potensi besar untuk diperkasakan sebagai kawasan pengeluaran sayuran bagi memenuhi keperluan pasaran.
“Ini merupakan agenda kita untuk memperkemas penggunaan tanah di kawasan bandar. Walaupun kawasannya kecil, ia boleh menghasilkan pertanian bernilai tinggi dan perkara ini sudah berjaya kita laksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan sehingga RM5,000 bagi setiap projek kebun komuniti menerusi pemberian input pertanian termasuk baja, benih tanaman, benih ikan dan peralatan pertanian.
Menurutnya, projek IPR yang dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Ekonomi kini memasuki musim kelima.
“Sepanjang tempoh itu, projek ini melibatkan dua pusingan tanaman timun dan dua kali tuaian cili,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















