SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berdepan risiko kewangan yang serius susulan peningkatan hutang dan gearing ratio syarikat itu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan RAM Ratings yang diterbitkan pada Ogos 2025, gearing ratio Air Selangor meningkat dari 4.75 kali pada 2023 kepada 5.94 kali pada 2024.
Lebih membimbangkan gearing ratio syarikat itu dijangka memuncak pada 9.6 kali pada 2027 bagi menampung keperluan perbelanjaan modal (CAPEX).
“Untuk tempoh lima tahun akan datang (2025-2029), unjuran capex (perbelanjaan modal) Air Selangor adalah hampir RM10 bilion bagi pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Rasau, penggantian paip lama dan inisiatif mengurangkan air tidak berhasil (NRW),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Menurut Mohamed Azmin, jumlah hasil Air Selangor meningkat 13 peratus dari RM2.54 bilion pada 2023 kepada RM2.88 bilion pada 2024.
Namun kerugian sebelum cukai turut meningkat dari RM595.49 juta kepada RM697.48 juta dalam tempoh sama, katanya.
Malah beliau berkata, keuntungan sebelum cukai RM157 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2025 turut dipengaruhi geran NRW daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Tanpa geran ini, Air Selangor merekodkan kerugian sebelum cukai berjumlah RM190 juta,” katanya yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu.
Mohamed Azmin turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri bercadang menggunakan sebahagian rizab kerajaan negeri bagi meringankan beban hutang Air Selangor.
“Sekiranya trend ini berterusan, apakah Air Selangor mempunyai keupayaan untuk membayar dividen kepada MBI? Bagaimana pula MBI boleh mencapai RM8 bilion pendapatan terkumpul menjelang 2028?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan kemampuan Air Selangor memenuhi permintaan air masa depan khususnya susulan perkembangan pusat data, keperluan domestik dan sektor industri di Selangor.
Mohamed Azmin berkata, kadar NRW Air Selangor bagaimanapun menunjukkan penambahbaikan apabila turun dari 27.7 peratus pada 2023 kepada 27 peratus pada 2024.
Namun beliau mahu kerajaan negeri menjelaskan sama ada margin rizab air sebanyak 18.6 peratus ketika ini mengambil kira pertambahan 39 pusat data serta keperluan domestik dan industri pada masa depan.
“Dalam konteks RS2, risikonya ialah Air Selangor tidak mampu berkembang sepantas ekonomi Selangor mahu berkembang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















