GEORGE TOWN – Empat lelaki yang didakwa mencederakan seorang peguam dan bersubahat dalam serangan itu pada Oktober tahun lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini tanpa dipanggil membela diri.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang memanggil seramai sembilan saksi dan mengemukakan 42 eksibit gagal membuktikan kes prima facie terhadap Koay Beng Ghee dan Teh Eng Tat masing-masing berusia 38 tahun; Ng Weng Kooi, 43; dan Yeoh Ee Seong, 48.
Dalam penghakimannya, Nadratun berkata, kes pendakwaan mempunyai percanggahan, kelompangan dan ketidakselarasan terutama dalam pengecaman pelaku dengan serangan berlaku kurang 10 saat dan pelaku dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memakai pelitup muka.
Katanya, mahkamah mendapati keterangan saksi yang mengecam pelaku berdasarkan bentuk badan ketika melihat kejadian melalui cermin pandang belakang dari beberapa kereta jauhnya tidak boleh dipercayai, selain rakaman CCTV tidak menunjukkan wajah pelaku dengan jelas.
Mahkamah turut memaklumkan pakaian yang dirampas daripada tertuduh juga tidak sepadan dengan pakaian pelaku dalam rakaman CCTV, dan pegawai penyiasat bersetuju mengenai percanggahan itu ketika pemeriksaan balas.
Sementara itu, bagi Ee Seong pula, mahkamah mendapati pendakwaan hanya menunjukkan kemungkinan motif susulan pertikaian dengan mangsa, tetapi gagal membuktikan beliau merancang, mengarahkan atau bersubahat dalam serangan itu.
“Motif semata-mata tanpa bukti kukuh berhubung perbuatan bersubahat tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan keempat-empat tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri serta wang jaminan dikembalikan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini, manakala Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid dan Ee Seong diwakili peguam Mohd Khairul Fairuz, Datuk Suhaimi Ibrahim serta Marcia Geraldine Lopez.
Pada 24 Disember 2024, Koay Beng Ghee, Teh Eng Tat dan Ng weng Kooi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama mencederakan Beh Hong Shien, 37, menggunakan rod besi di tepi jalan Persiaran Karpal Singh pada jam 9.50 pagi, 22 Oktober tahun yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiga hari kemudian, Ee Seong yang merupakan seorang peniaga, dituduh bersubahat dalam jenayah itu di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 324 Kanun Keseksaan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. – MalaysiaGazette
















