KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan memfailkan permohonan prosiding inkues dalam tempoh dua hari lagi bagi menentukan punca dan sebab kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu.
Pengarah JSJ, Datuk M. Kumar berkata, keputusan untuk mengadakan inkues sudah dibuat dan proses berkenaan akan dilaksanakan mengikut prosedur mahkamah bagi mendapatkan tarikh pendengaran serta tindakan lanjut.
“Keputusan telah dibuat untuk inkues. Kita akan fail untuk inkues dalam dua hari lagi untuk mendapatkan tarikh dan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, siasatan polis berhubung kejadian itu sudah dilengkapkan buat masa ini dan akan diteruskan mengikut keperluan sepanjang proses inkues.
“Kita sudah melengkapkan siasatan buat masa ini. Keputusan telah dibuat untuk inkues.
“Proses inkues akan berjalan seperti kes di Sabah, adik Zara Qairina Mahathir dan ia akan melalui proses mahkamah yang menyeluruh,” katanya.
Kumar berkata, semua anggota polis yang terbabit dalam insiden berkenaan akan dipanggil sebagai saksi dalam prosiding inkues.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan supaya prosiding inkues diadakan bagi menyiasat kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal pada 24 November tahun lalu.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, prosiding itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian ketiga-tiga individu terbabit.
Ia termasuk mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian mereka.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi pada 24 November tahun lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Insiden itu menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an berkenaan mengalami kecederaan serius pada lengan kiri. – MalaysiaGazette
















