Operasi pemadaman api membabitkan kebakaran lima buah rumah itu selesai jam 2.58 petang tadi.

BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun antara tiga sekeluarga diselamatkan pasukan bomba dalam kebakaran membabitkan lima buah rumah di Jalan Paya, Kampung Tanah Liat di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.32 tengah hari itu, tiga mangsa terbabit ialah Mohd Nor Ahmad Hamdan, 82; Suryani Ahmad, 47; dan Munirah Mohd Yusoff, 4, yang kesemuanya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.32 tengah hari sebelum jentera pertama tiba di lokasi lapan minit kemudian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati melibatkan lima unit rumah, masing-masing dengan anggaran keluasan 50 kaki x 60 kaki bagi setiap unit.

“Dua rumah kelas B iaitu rumah dua tingkat mengalami kemusnahan masing-masing 80 dan 75 peratus, manakala tiga rumah kelas C iaitu rumah setingkat mengalami kemusnahan masing-masing 85, 10 dan lima peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran turut memusnahkan sebuah motosikal jenis Modenas dengan anggaran kemusnahan sebanyak 90 peratus.

Menurutnya, Komander Operasi membuat penilaian awal sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) lengkap dengan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) menjalankan kerja pemadaman menggunakan kaedah ofensif dan defensif.

“Kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 1.30 petang dan operasi diteruskan dengan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada bahaya yang lain.

“Operasi tamat pada jam 2.58 petang sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya termasuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast