SHAH ALAM – Polis akan bersemuka dengan seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta bagi membandingkan maklumat diperoleh di Indonesia dengan hasil siasatan di negara ini dalam usaha mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai sindiket dadah yang dikaitkan dengannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan, empat pegawainya tiba di Jakarta pagi ini dan diberikan akses selama dua hari untuk menemu bual lelaki berusia 39 tahun itu.
Menurut beliau, pihak berkuasa Indonesia membenarkan sesi berkenaan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos bagi membolehkan pasukan penyiasat mendapatkan maklumat lebih terperinci.
“Empat pegawai JSJN tiba di Jakarta pagi ini dan kita diberikan peluang untuk bertemu dengan rakyat Malaysia itu selama dua hari.
“Kita akan bandingkan maklumat yang diperoleh di sini berkaitan sindiket dan perkara lain serta mengemukakan maklumat itu kepadanya supaya kita mendapat maklumat lebih terperinci dan tepat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata, pasukan berkenaan juga akan menemui tiga wanita Malaysia dari Kota Kinabalu yang ditahan pihak berkuasa Indonesia dalam satu kes dadah berasingan.
Menurutnya, kes membabitkan tiga wanita itu melibatkan kuantiti dadah yang kecil dan dipercayai untuk kegunaan sendiri.
Dalam pada itu, JSJN belum membuat keputusan sama ada pasukan berkenaan akan meneruskan siasatan di Surabaya bagi mendapatkan maklumat berhubung seorang lagi rakyat Malaysia yang ditahan dalam kes dadah di sana.
“Kita akan lihat dahulu perkembangan di Jakarta sebelum membuat keputusan selanjutnya,” katanya.
Juruterbang terbabit ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 28 Julai lalu selepas tiba dari Kuala Lumpur, susulan penemuan dadah yang dibawanya.
Kes berkenaan kemudian membawa kepada siasatan lebih menyeluruh oleh JSJN di Malaysia termasuk meneliti sumber bekalan, pergerakan suspek sebelum berlepas serta kemungkinan pembabitan individu lain dalam rangkaian berkenaan. -MalaysiaGazette
















