KUALA LUMPUR – Lima lelaki warga China yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Cheras di sini, ditahan polis dalam dua serbuan di Sri Petaling dan Pudu, Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek berusia antara 38 hingga 58 tahun itu ditahan hasil risikan susulan kes pecah rumah di Taman Desa Petaling pada 4 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, sebuah kediaman dipecah masuk menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM6,000 selepas kehilangan wang tunai, barang kemas dan sebuah beg silang berjenama mewah.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, dua serbuan dilakukan di Sri Petaling dan Pudu kira-kira pukul 9.30 malam pada 9 Ogos lalu.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan pecah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadil, polis turut menemukan semula barangan milik mangsa dalam kes di Taman Desa Petaling.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa barangan mewah termasuk jam tangan, dompet serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah lebih RM10,000.
“Siasatan awal mendapati suspek turut terlibat dalam dua lagi kes pecah rumah yang dilaporkan di sekitar Cheras,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman bermula 10 hingga 13 Ogos bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. -MalaysiaGazette
















