Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Kutipan caj beg plastik di Selangor merosot lebih separuh dalam tempoh dua tahun dari RM13.35 juta pada 2023 kepada RM6.97 juta tahun lalu, menunjukkan perubahan tingkah laku pengguna semakin mengutamakan beg guna semula.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kutipan Caj Beg Plastik yang diterima Kerajaan Negeri masing-masing berjumlah RM13.35 juta pada 2023; RM9.04 juta (2024) dan RM6.97 juta (2025).

Beliau berkata, trend penurunan berterusan itu menjadi antara indikator yang digunakan kerajaan negeri untuk melihat keberkesanan Kempen Bebas Plastik dan Program Kutipan Caj Beg Plastik dalam mempengaruhi tabiat pengguna.

“Walaupun tiada kajian khusus yang mengukur pengurangan penggunaan beg plastik secara menyeluruh, kerajaan negeri menggunakan trend kutipan Caj Beg Plastik sebagai salah satu indikator perubahan tingkah laku pengguna,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) mengenai keberkesanan kempen kurangkan penggunaan beg plastik di Selangor.

Menurut Jamaliah, Kempen Bebas Plastik dilaksanakan di Selangor sejak 2010, manakala Program Kutipan Caj Beg Plastik diperkenalkan pada 2020.

Katanya, pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik dan pengenaan caj 20 sen bagi setiap beg plastik sekali guna dilihat berjaya meningkatkan kesedaran pengguna untuk membawa beg sendiri ketika membeli-belah.

“Pengguna didapati semakin mengutamakan penggunaan beg guna semula ketika membeli-belah.

“Perkembangan ini turut disokong oleh trend penurunan kutipan Caj Beg Plastik dari tahun ke tahun yang mencerminkan pengurangan penggunaan beg plastik sekali guna,” katanya.

Jamaliah berkata, peningkatan kesedaran turut dapat dilihat menerusi penyertaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor swasta dalam menyediakan kemudahan yang menggalakkan amalan guna semula.

Antaranya, katanya, pusat komersial, pusat membeli-belah dan pasar awam menyediakan Gerobok Beg atau Sudut Beg yang membolehkan pengguna meminjam atau menyumbangkan beg guna semula.

“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan penggunaan beg guna semula, malah mengurangkan kebergantungan kepada beg plastik sekali guna melalui amalan berkongsi dan menggunakan semula beg yang disumbangkan,” katanya.

Beliau berkata, semakin banyak premis komersial termasuk pasar raya, kedai serbaneka dan farmasi juga tidak lagi menyediakan beg plastik sekali guna secara percuma.

“Langkah itu secara tidak langsung mendorong pengguna membawa beg sendiri ketika membeli-belah,” katanya.

Jamaliah berkata, sasaran Selangor ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna menjelang 2030 adalah sesuatu mencabar, namun berpotensi dicapai sekiranya momentum pelaksanaan dasar dan kesedaran awam dapat dikekalkan.

“Ia selaras dengan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018–2030 yang menjadi panduan nasional dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta memperluaskan penggunaan alternatif yang lebih lestari,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sasaran tersebut tidak boleh dicapai melalui tindakan kerajaan negeri semata-mata.

“Ia memerlukan komitmen bersama daripada PBT, sektor perniagaan, pengilang, pertubuhan masyarakat sivil dan pengguna untuk mengamalkan prinsip mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula (3R) dalam kehidupan seharian,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan terus memperhebat program pendidikan, kempen kesedaran dan penambahbaikan dasar bagi memastikan sasaran 2030 dapat direalisasikan secara berkesan dan mampan.

“Selangor berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran sifar penggunaan plastik sekali guna menjelang 2030 menerusi dasar yang konsisten, pengukuhan pendidikan awam serta kerjasama semua pihak berkepentingan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast