Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim bercakap pada sidang media selepas Program Ibad ah Korban UMNO Bahagian Batu 2026 di Pejabat UMNO Bahagian Batu, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, mempersoalkan ke mana hilangnya kira-kira RM9 bilion yang didakwa sepatutnya diterima Lembaga Tabung Haji (TH) selepas proses penstrukturan institusi itu susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Beliau berkata, persoalan itu timbul selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Hassan Karim, membangkitkan isu sama ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Gulam, persoalan paling besar yang perlu dijawab kerajaan ialah mengenai kedudukan dana yang dikatakan perlu dibayar oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) kepada TH dalam proses penstrukturan berkenaan.

“Semalam ramai dalam kalangan ahli Parlimen yang bahaskan isu RCI TH, saya tertarik dan terkesan dengan hujah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Hassan Karim.

“Beliau mempersoalkan kerajaan mana hilangnya RM9 bilion selepas proses penstrukturan TH dibuat oleh Menteri Kewangan PH1.0 Lim Guan Eng selepas pasca era BN pada 2018,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Gulam turut mempersoalkan naratif TH ketika itu mengalami kerugian besar dengan menjelaskan perbezaan antara defisit aset dan liabiliti dengan kerugian sebenar.

Tegasnya, TH ketika itu dikatakan mengalami defisit RM4.1 bilion antara aset dan liabiliti dalam akaun imbangan duga akibat pembayaran hibah yang tinggi menggunakan kaedah perakaunan Realisable Asset Value (RAV).

“Definisi RAV iaitu anggaran nilai pasaran semasa untuk sesuatu aset (seperti hartanah atau pelaburan) jika ia dicairkan. Ini bermaksud defisit bukan bermaksud kerugian,” katanya.

Beliau memberi analogi bahawa kerajaan juga membentangkan belanjawan defisit setiap tahun, namun keadaan itu tidak semestinya bermaksud kerajaan mengalami kerugian.

“Sebagai contoh bila kerajaan membentangkan Belanjawan Kerajaan setiap tahun. Kita sering dengar belanjawan defisit. Adakah kerajaan rugi? Tidak bukan.

“Kerajaan cuma mengalami defisit di antara pendapatan dan perbelanjaan yang perlu ditampung dengan pinjaman untuk mengimbangi kedudukan fiskal negara,” katanya.

Gulam kemudian mengaitkan isu berkenaan dengan penstrukturan TH selepas BN tidak lagi menjadi kerajaan pada 2018, termasuk penubuhan UJSB oleh Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

“Sekarang kita masuk bab TH selepas BN kalah pada 2018, Lim Guan Eng tubuhkan SPV UJSB yang kononnya untuk selamatkan TH. Buat suntikan modal bernilai berbilion ringgit dengan mengeluarkan Sukuk (Bon Patuh Syariah),” katanya.

Beliau mendakwa, UJSB sepatutnya membayar balik semua pinjaman sukuk berkenaan, namun TH hanya menerima RM500 juta secara tunai dalam proses imbangan penstrukturan sehingga kini.

“UJSB sepatutnya membayar balik semua pinjaman sukuk tetapi TH hanya menerima RM500 juta tunai dalam proses imbalan penstrukturan sehingga hari ini,” katanya.

Menurut Gulam, persoalan mengenai RM9 bilion itu menjadi lebih serius apabila Hassan membangkitkannya dalam perbahasan RCI TH, tetapi didakwa tidak mendapat jawapan daripada pihak kerajaan.

“Semalam bila Yang Berhormat Hassan Karim kata dan dedahkan mana hilangnya RM9 bilion yang sepatutnya diterima oleh TH yang dibayar oleh UJSB, pihak kerajaan semasa mengalung perbahasan tidak menjawab,” katanya.

Gulam turut mempersoalkan gesaan supaya tempoh siasatan RCI TH dilanjutkan sehingga 2025, dengan menyifatkan perkara itu penting bagi memastikan keseluruhan isu berkaitan pengurusan dan penstrukturan TH dapat disiasat secara menyeluruh.

“Ini satu persoalan kenapa kem ahli Parlimen BN memohon kepada kerajaan supaya tempoh siasatan RCI TH dilanjutkan sehingga 2025. Perlu dedahkan juga dalang kerugian ini,” katanya.

Dalam pada itu, Gulam menggesa kerajaan bersikap terbuka dan menyeluruh dalam menangani isu TH, termasuk mendedahkan semua fakta berkaitan penstrukturan institusi itu.

“Kerajaan perlu bersikap ‘lock stock and barrel’ dalam urusan TH ini,” katanya.

Beliau memberi amaran supaya kerajaan tidak hanya mendedahkan kelemahan pihak tertentu tetapi pada masa sama menyembunyikan kelemahan sendiri.

“Jangan hanya buka cerita separuh jalan dengan mendedahkan kelemahan orang tetapi kelemahan sendiri sorok di bawah permaidani merah,” katanya.

Gulam turut mengkritik UJSB dan Guan Eng dengan menegaskan penstrukturan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai tindakan menyelamatkan TH tanpa penjelasan menyeluruh mengenai kesannya terhadap kedudukan kewangan institusi itu.

“Rakyat juga perlu tahu ke mana hilangnya RM9 billion. UJSB ini bukanlah penyelamat, dalam erti kata lain Lim Guan Eng bukanlah ‘Hero TH’.

“Sebaliknya beliau adalah perosak ekosistem perniagaan dan pelaburan TH dari hanya sekadar berstatus defisit terus rugi teruk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.