KUALA LUMPUR – Orang ramai terutama di kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti lasak di luar bangunan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyarankan mereka mengurangkan tempoh berada di luar bangunan dan memakai pelitup muka yang sesuai jika perlu berada di kawasan terbuka.
Menurutnya, sebanyak 10 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 9 pagi, 11 Ogos 2026.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), sembilan kawasan terjejas berada di Sarawak iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Samarahan, Kuching, Bintulu, Samalaju, Mukah, Sibu, Sarikei dan Sri Aman, manakala satu lagi kawasan ialah Johan Setia di Selangor.
Setakat ini, katanya, tiada kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat atau berbahay.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut memaklumkan 19 kawasan di negeri itu berpotensi tinggi terjejas sekiranya aktiviti pembakaran terbuka berterusan.
Orang ramai juga diminta menutup tingkap dan pintu bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar, mengelakkan aktiviti yang meningkatkan pencemaran udara dalaman termasuk merokok, menggunakan mod kitaran semula udara dalaman pada penyaman udara ketika memandu serta menggunakan alat penapis udara di rumah jika berkemampuan.
“Minum air secukupnya bagi memastikan badan kekal terhidrat serta memberi perhatian khusus kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit kronik dan segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami sesak nafas, batuk berpanjangan atau gejala lain yang semakin teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KKM turut menyarankan institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pihak swasta memantau bacaan IPU semasa serta menyesuaikan aktiviti luar mengikut tahap kualiti udara.
Aktiviti sukan, kokurikulum dan aktiviti fizikal lasak di luar bangunan disarankan supaya ditangguhkan atau dipindahkan ke dalam bangunan yang sesuai apabila IPU melebihi 100.
Orang ramai juga diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara dan meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu.
Katanya, KKM telah meningkatkan survelan penyakit berkaitan jerebu di fasiliti kesihatan bagi memantau sebarang peningkatan kes dan mengesan perubahan trend penyakit berkaitan jerebu.
“KKM akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar serta agensi berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memantau perkembangan situasi dan menyelaras tindakan untuk mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















