KOTA BHARU – Kerajaan membawa kalangan duta dan perwakilan asing ke kawasan pantai timur Sabah dalam usaha memulihkan keyakinan negara luar terhadap keselamatan kawasan itu selepas hampir 13 tahun.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata usaha itu penting susulan peristiwa Lahad Datu, Sabah kira-kira 13 tahun lepas yang bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat tempatan, malah juga menjejaskan potensi pelancongan di negeri itu.
Beliau berkata pihaknya berharap langkah itu dapat mendorong kalangan duta dan perwakilan asing menasihatkan kerajaan masing-masing untuk menyemak semula nasihat perjalanan kepada rakyatnya.
“Sejak kita mulakan, ini tahun ketiga, beberapa negara telah meneliti semula nasihat perjalanan kepada rakyat mereka,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, Khamis lepas, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini.
Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan struktur organisasi menggabungkan tiga pasukan keselamatan manakala 10 daerah diklasifikasikan sebagai kawasan keselamatan juga mendorong keadaan selamat itu, katanya.
“Tujuan kita adalah untuk meyakinkan perwakilan asing bahawa keadaan keselamatan sekarang sudah terjamin dan kita harap mereka dapat menguar-uarkan kepada rakyat mereka. Kedatangan pelancong akan memberikan impak ekonomi yang baik kepada Sabah khususnya,” katanya.
Saifuddin Nasutionn berkata menerusi program tersebut, duta dan perwakilan asing dibawa berkunjung ke kawasan pantai timur Sabah selama tiga hari dua malam, termasuk kawasan hutan dan pulau bagi melihat sendiri keadaan keselamatan serta mendapatkan pengalaman.
Beliau berkata Amerika Syarikat (AS) dan Jepun antara negara yang telah meneliti semula nasihat perjalanan kepada rakyatnya, manakala kehadiran pelancong paling ramai ke pantai timur Sabah adalah dari China, diikuti negara Eropah terutama Jerman dan United Kingdom, serta AS dan Asia Timur.
Negara mencatat lonjakan besar dan ketara dari segi ketibaan pelancong ke pantai timur Sabah selepas pelaksanaan program itu selama tiga tahun, katanya. – BERNAMA
















