KUALA LUMPUR – Harga runcit produk petroleum tanpa subsidi menurun bagi tempoh 13 Ogos hingga 19 Ogos 2026, susulan kejatuhan harga minyak dunia pada minggu lalu.

Kementerian Kewangan berkata, harga runcit RON97 menurun sebanyak 20 sen seliter kepada RM4.15 seliter dan RON95 tanpa subsidi pula RM3.62 seliter, turun 15 sen seliter.

Manakala harga diesel tanpa subsidi menurun 10 sen seliter kepada RM4.47 seliter.

Menurutnya, harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat dan Iran telah menyebabkan harga minyak dunia diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar minggu lalu.

Harga minyak mentah Brent merosot ke bawah AS$80 setong pada awal tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism (APM), iaitu paras terendah dalam tempoh tiga minggu.

Namun, premium risiko geopolitik kembali meningkat menjelang penghujung tempoh pengiraan APM apabila prospek rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran kembali merosot, susulan tuntutan baharu yang dikemukakan kedua-dua pihak.

Harga Brent meningkat hampir 5% pada Isnin apabila kebimbangan terhadap pembukaan semula Selat Hormuz kembali memuncak.

Ketidaktentuan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz terus menimbulkan risiko gangguan bekalan minyak dunia, sekali gus memberi tekanan terhadap harga petroleum.

Dengan itu, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, bagi pengguna yang layak di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95), kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.63 seliter, bersamaan kira-kira 82% daripada harga RM1.99 seliter yang dibayar di pam.

Manakala di bawah Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) pula, penggguna layak membayar sebanyak RM2.37 1 seliter, bersamaan kira-kira 113% daripada harga RM2.10 seliter.

Harga bahan api di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula RM2.10 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan berkata, Kerajaan Madani bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.

Pada masa sama, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

Katanya, merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast