MELAKA – Seorang penganggur direman lima hari selepas disyaki melakukan amang seksual dan penganiayaan fizikal terhadap dua anaknya berusia tujuh dan tiga tahun antara Mei hingga Ogos lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 4 petang semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 40-an dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia tujuh tahun pada Mei lalu dan anak perempuan berusia tiga tahun pada Jun 2026.
“Suspek turut disyaki menganiaya kedua-dua mangsa secara fizikal pada Ogos 2026 dan kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah di Sungai Udang di sini.
“Kedua-dua mangsa juga telah dirujuk ke Hospital Melaka bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11.35 malam tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, manakala hasil saringan air kencing adalah negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette
















