KUALA LUMPUR – Keadaan jerebu di Sarawak semakin ketara apabila Serian mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 204 setakat pukul 3 petang hari ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, sebanyak 11 stesen daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara seluruh negara turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, antara 101 hingga 200.
Antara kawasan terbabit ialah Cheras, Kuala Lumpur dengan bacaan IPU 122, Putrajaya (121), Shah Alam, Selangor (112), Miri (152), Samalaju (120), Bintulu (154), Sibu (135), Sarikei (161), Sri Aman (158), Samarahan (177) dan Kuching (177).
Tambah NRES, kemerosotan kualiti udara di Sarawak berpunca daripada jerebu merentas sempadan selain kebakaran tempatan di beberapa lokasi.
Kebakaran tempatan berlaku di tapak pelupusan sampah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu (SMC) dengan anggaran keluasan 1.5 hektar serta kebakaran hutan dan belukar di Sri Aman kira-kira 100 hektar
Bagaimanapun, operasi pemadaman masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi tersebut.
Negara ini mula berhadapan situasi jerebu sejak 8 Ogos lalu susulan fenomena El Niño yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya.
“Kombinasi taburan hujan yang lebih rendah dan suhu yang lebih tinggi berpotensi meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu khususnya di kawasan yang mengalami keadaan kering untuk tempoh yang panjang,” katanya.
Dalam pada itu, NRES berkata, sebanyak 354 titik panas dikesan di Kalimantan dan 60 lagi di Sumatera, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap risiko jerebu rentas sempadan susulan keadaan cuaca kering yang berterusan di selatan rantau ASEAN.
Menurutnya, pemantauan satelit NOAA-20 semalam mendapati 12 titik panas turut dikesan di Malaysia, iaitu satu di Pahang dan 11 di Sarawak.
“Keadaan kering yang berpanjangan boleh mencetuskan lebih banyak titik panas dan kejadian jerebu, termasuk berpotensi membawa kepada peningkatan jerebu rentas sempadan.
“Berdasarkan Peta Jerebu Serantau dan maklumat ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), keadaan kering dikesan di selatan rantau ASEAN, kecuali beberapa kawasan di utara Sumatera yang mengalami hujan,” katanya.
NRES menambah, titik panas terpencil turut dikesan di bahagian tengah dan selatan Sumatera serta bahagian selatan dan timur Kalimantan, selain beberapa titik panas di Semenanjung Malaysia, Sarawak, Pulau Jawa dan Sulawesi.
Kepulan asap sederhana diperhatikan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, manakala kepulan asap ringan diperhatikan di bahagian selatan Sumatera, katanya.
Sementara tu NRES berkata, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan selatan rantau ASEAN, manakala hujan diramalkan berlaku di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera.
Di peringkat ASEAN, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan sejak 3 Ogos lalu bagi membolehkan negara-negara di selatan rantau ASEAN termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor-Leste melaksanakan pelaporan harian serta tindak balas kecemasan berkaitan kebakaran dan jerebu.-MalaysiaGazette
















