SHAH ALAM – Ahli Dewan Negeri Sabak, Sallehen Mukhyi mencabar Kerajaan Negeri Selangor mengadakan sidang khas selama dua minggu sekiranya terlalu banyak perkara mahu dibangkitkan terhadap Pas, termasuk presidennya dan Menteri Besar Kedah.
Beliau berkata, cadangan itu membolehkan semua kritikan terhadap Pas dibahaskan secara terbuka tanpa kekangan masa, selain memberi ruang kepada wakil parti itu menjawab serta membuat penggulungan.
“Kalau boleh saya nak mencadang supaya pihak kerajaan, kalau hendak sangat untuk membuat kritikan yang panjang, kita buat sidang khas dua minggu untuk kritik Pas, kritik presiden, kritik Menteri Besar Kedah supaya kita boleh bebas.
“Sebab dalam sepanjang perbahasan, Insya-Allah kami daripada Pas boleh mendengar.
“Kami daripada Pas tidak melatah, tidak koyak untuk mendengar, tetapi berilah kami peluang selepas itu untuk buat penggulungan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Sementara itu, Sallehen memberi bayangan mengenai perkembangan hubungan Pas dan Amanah di Negeri Sembilan mungkin dibawa ke Selangor dan kemungkinan perubahan landskap politik menjelang pilihan raya akan datang.
Menurut Sallehen, Pas dan Amanah kini menunjukkan perkembangan positif dari segi persefahaman dan tidak lagi wajar dilihat semata-mata melalui konflik politik masa lalu.
“Alhamdulillah mutakhir ini dua parti yang besar, Pas dan Amanah sudah mula ada persefahaman. Tidak timbul perpecahan.
“Mungkin apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu akan kita bawa di Selangor, Insya-Allah,” katanya.
Lebih menarik, Sallehen turut berdepan celahan mengenai pendirian Pas terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), khususnya apabila beliau menyentuh soal penyatuan umat Melayu.
Bagaimanapun, Sallehen enggan menjawab bagi pihak Bersatu dengan alasan beliau bukan pemimpin atau presiden parti berkenaan.
“Saya faham. Tanya pada saya Bersatu, saya bukan Presiden Bersatu. Jadi saya tak bolehlah mewakili Presiden Bersatu untuk jawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















