RAKYAT kehilangan pekerjaan, anak muda sukar mendapat kerja. Jangan pula simpanan persaraan mereka dijadikan sasaran yang semakin tinggi.
Angka pengangguran Malaysia yang kekal pada 3.0 peratus tidak seharusnya dijadikan alasan untuk Kerajaan MADANI terus mendabik dada seolah-olah masalah pekerjaan rakyat telah selesai.
Persoalannya mudah:
Kalau pasaran pekerjaan benar-benar kukuh, mengapa jumlah penganggur masih begitu tinggi dan semakin meningkat?
Bilangan penganggur meningkat 0.9 peratus kepada 517,800 orang daripada 513,400 orang pada Mei. Angka ini bukan sekadar statistik di atas kertas. Di belakang setiap angka itu ada seorang individu, sebuah keluarga, komitmen pinjaman, sewa rumah, anak yang perlu diberi makan dan kehidupan yang perlu diteruskan.
Dan kita belum menyelesaikan persoalan pengangguran belia.
Anak muda kita mahu bekerja tetapi peluang yang ada tidak semestinya sepadan dengan kelayakan, kemahiran dan gaji yang mereka perlukan.
Kita juga melihat perubahan struktur dan penyesuaian tenaga kerja dalam sektor korporat. Apabila syarikat besar melakukan “right-sizing”, kesannya bukan hanya kepada angka pekerja di dalam laporan korporat — ia memberi kesan terus kepada keluarga dan kuasa beli rakyat.
Jangan ukur kejayaan ekonomi hanya dengan kadar pengangguran
Kerajaan perlu berhenti melihat kadar pengangguran semata-mata sebagai ukuran kejayaan.
Kita mahu tahu:
Berapa ramai yang mendapat pekerjaan tetap?
Berapa ramai yang terpaksa menerima pekerjaan di bawah kelayakan mereka?
Berapa ramai yang bekerja tetapi gaji tidak cukup menampung kos sara hidup?
Berapa ramai yang kehilangan pekerjaan tetapi tidak lagi dikira sebagai penganggur kerana sudah berhenti mencari kerja?
Inilah realiti ekonomi yang perlu dijawab.
Kadar 3.0 peratus mungkin kelihatan cantik dalam laporan, tetapi rakyat tidak membayar bil menggunakan angka peratusan.
Rakyat membayar bil menggunakan gaji.
Jangan tekan rakyat dengan sasaran persaraan yang tidak sepadan dengan realiti pendapatan
Dalam keadaan rakyat sedang bergelut mendapatkan pekerjaan dan menghadapi kos sara hidup, kita juga perlu melihat semula bagaimana sasaran simpanan persaraan diperkenalkan.
KWSP menetapkan tiga tahap simpanan di bawah kerangka Retirement Income Adequacy (RIA), iaitu RM390,000 sebagai Simpanan Asas, RM650,000 sebagai Simpanan Mencukupi dan RM1.3 juta sebagai Simpanan Dipertingkatkan.
Kita faham niat KWSP untuk memastikan rakyat mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara.
Tetapi, kerajaan juga perlu memahami satu perkara:
Simpanan persaraan tidak boleh dipisahkan daripada realiti pendapatan rakyat.
Bagaimana rakyat mahu mencapai simpanan RM1.3 juta jika hari ini mereka sendiri bergelut untuk mendapatkan pekerjaan?
Bagaimana seorang pekerja yang kehilangan pekerjaan pada usia 40-an mahu mengejar sasaran persaraan yang tinggi selepas terputus caruman?
Bagaimana anak muda yang baru memasuki pasaran pekerjaan mahu menyimpan dalam jumlah besar sedangkan sebahagian besar pendapatan mereka habis untuk sewa rumah, pengangkutan, makanan dan komitmen keluarga?
Saya berpandangan bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan RM1 juta sebagai penanda aras simpanan persaraan yang lebih realistik dan munasabah, tanpa menjadikan RM1.3 juta sebagai satu tekanan baharu kepada rakyat.
Ini bukan bermaksud kita menolak usaha meningkatkan simpanan persaraan.
Sebaliknya, kita mahu kerajaan menjawab persoalan yang lebih asas:
Bagaimana rakyat mahu menyimpan lebih banyak jika kerajaan gagal memastikan mereka memperoleh pendapatan yang lebih baik?
Jangan suruh rakyat menyimpan lebih banyak sedangkan pekerjaan tidak stabil.
Jangan suruh rakyat bekerja lebih lama sedangkan gaji tidak meningkat seiring kos sara hidup.
Jangan salahkan rakyat kerana simpanan KWSP mereka rendah sedangkan sebahagian daripada mereka pernah kehilangan pekerjaan, menerima gaji rendah atau terpaksa mengeluarkan simpanan untuk bertahan ketika kecemasan.
Masalahnya bukan rakyat tidak mahu menyimpan. Masalahnya ialah ramai rakyat tidak mempunyai lebihan pendapatan untuk disimpan.
Kerajaan perlu cipta pekerjaan, bukan sekadar statistik.
Kerajaan MADANI perlu mengubah pendekatan.
Kita mahu kerajaan menetapkan sasaran yang lebih bermakna:
1. Kurangkan jumlah sebenar penganggur;
2. Turunkan kadar pengangguran belia;
3. Cipta lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi;
4. Kurangkan underemployment dan pekerjaan tidak sepadan dengan kelayakan;
5. Perkukuh perlindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan; dan
6. Pastikan rakyat mampu membina simpanan persaraan tanpa mengorbankan keperluan asas hari ini.
Rakyat tidak perlukan angka yang cantik. Rakyat perlukan kehidupan yang lebih baik.
Justeru, kerajaan perlu berani menilai semula pendekatan semasa dan memastikan RM1 juta kekal sebagai satu penanda aras simpanan persaraan yang realistik, di samping memperkukuh usaha meningkatkan pendapatan dan kestabilan pekerjaan rakyat.
Jangan hanya minta rakyat menyimpan lebih banyak.
Pastikan dahulu rakyat mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang membolehkan mereka menyimpan.
Itulah ukuran sebenar sebuah kerajaan yang benar-benar membela rakyat.

Shahir Adnan adalah seorang Aktivis Politik
















