PUTRAJAYA – Penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengimbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibentang kepada Kabinet minggu depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses merangka SOP tersebut susulan penahanan juruterbang yang disyaki terlibat dengan pengedaran dadah, baru-baru ini.
Jelasnya, SOP berkenaan termasuk meneliti skop penggunaan mesin pengimbas sedia ada.
“KDN sedang merangka penambahbaikan dari segi SOP pengimbasan dan sebagainya, dan akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini hari ini.
Jelasnya, aspek mesin pengimbas turut akan diteliti bagi memastikan peralatan berkenaan dapat ditambah baik.
“Jadi dari segi mesin-mesin pengimbas ini, sudah tentu kita akan melihat skop dan SOP dan sebagainya untuk memastikan semua mesin pengimbas itu dapat ditambah baik,” katanya lagi.
Selain itu, Anthony Loke turut memaklumkan beberapa langkah keselamatan lain sedang diperkukuh kementeriannya, termasuk usaha meningkatkan pengawasan dan saringan membabitkan kru penerbangan.
Beliau berkata, langkah berkenaan bukan sahaja melibatkan Malaysia Airlines, malah syarikat penerbangan lain turut diminta memperkukuh aspek pengawasan dan saringan juruterbang serta kru kabin.
“MOT juga meminta MAS mempertingkatkan saringan. Bukan setakat MAS, syarikat penerbangan lain juga perlu memastikan tapisan dan saringan juruterbang serta kru kabin diketatkan.
“Dalam masa sama, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bertanggungjawab memperketatkan saringan dan tapisan, dan semua itu sedang berjalan,” tambahnya.
















