Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari .

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor kini mempunyai kira-kira 8,000 tan stok penimbal makanan, namun jumlah itu hanya mampu menampung sekitar 15 hingga 20 peratus keperluan semasa negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti stok penimbal sehingga mampu menampung keperluan makanan Selangor bagi tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan sasaran untuk mencapai tahap simpanan bagi tempoh tiga bulan sahaja memerlukan kos lebih RM1 bilion.

“Untuk sampai ke tahap tiga bulan sahaja, kosnya lebih daripada RM1 bilion,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Nushi Mahfodz (PN-Semenyih) mengenai usaha kerajaan negeri dalam memantau harga barang dapur bagi memastikan rakyat dapat berbelanja.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri tidak bercadang menggunakan peruntukan lebih RM1 bilion secara sekali gus kerana pendekatan itu dilihat kurang berhemah dari sudut pengurusan kewangan.

Sebaliknya, kata beliau, penambahan stok penimbal akan dilakukan secara berperingkat dari semasa ke semasa mengikut kemampuan dan keperluan.

“Selain daripada simpanan yang ada di peringkat Persekutuan, kita juga ada simpanan di peringkat negeri,” katanya.

Amirudin berkata, stok penimbal Selangor ketika ini bukan hanya tertumpu kepada beras atau sumber karbohidrat, malah kerajaan negeri turut menyimpan sumber protein seperti daging dan ikan.

“Usaha mengumpulkan sumber protein tersebut telah dimulakan sejak 2023 atau 2024 sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh daya tahan makanan negeri.

“Sasaran jangka panjang adalah untuk meningkatkan stok secara berperingkat sehingga Selangor mempunyai keupayaan menghadapi gangguan bekalan makanan bagi tempoh yang lebih panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kira-kira 290,000 tan stok penimbal beras di peringkat negara ketika ini sememangnya sudah tersedia dan bukannya sekadar angka unjuran.

“Stok tersebut ditempatkan di lokasi yang ditetapkan, termasuk gudang pengeluar dan penyimpan beras tertentu, dengan data simpanan dipantau oleh kementerian berkaitan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, stok beras tidak boleh disimpan tanpa pengurusan berkala kerana ia mempunyai tempoh penyimpanan dan boleh rosak sekiranya terlalu lama.

“Justeru, kerajaan perlu memastikan stok penimbal sentiasa berada dalam keadaan baik serta dikeluarkan dan digantikan mengikut tempoh matang,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, usaha memperkukuh stok makanan negeri turut didorong oleh hakikat bahawa Malaysia masih mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap import makanan.

“Nilai import makanan negara mencecah kira-kira RM60 bilion, sekali gus menjadikan Malaysia terdedah kepada gangguan rantaian bekalan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman ketika pandemik Covid-19 menunjukkan betapa pentingnya negara mempunyai stok makanan sendiri sekiranya negara pengeksport mengambil keputusan mengehadkan atau menghentikan eksport bagi memenuhi keperluan domestik.

Menurut Amirudin, situasi tersebut menjadi antara pencetus kepada idea penubuhan Gudang Makanan Selangor.

“Kerajaan negeri menyedari sekuriti makanan tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran antarabangsa kerana sebarang konflik, perubahan dasar perdagangan atau gangguan logistik boleh memberi kesan kepada harga dan bekalan dalam negara.

“Malah, Malaysia turut mengimport jagung bijirin bernilai kira-kira RM6 bilion, yang merupakan antara input penting bagi industri makanan ternakan.

“Kebergantungan itu boleh memberi kesan kepada harga makanan sekiranya berlaku peningkatan kos import akibat konflik atau perubahan dasar perdagangan antarabangsa,” jelasnya.

Sebagai langkah proaktif, Amirudin berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kini mempunyai lebih 1,000 hektar kawasan bagi projek berkaitan pengeluaran jagung bijirin.

“Kerajaan negeri juga sedang mencari kawasan tanah tambahan termasuk di luar Selangor bagi meningkatkan pengeluaran tempatan,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, strategi sekuriti makanan Selangor tidak hanya tertumpu kepada membeli dan menyimpan stok, sebaliknya mengambil langkah memastikan rantaian pengeluaran makanan tempatan terus diperkukuh.

“PKPS turut memajak beberapa lot sawah bagi memastikan bekalan padi dapat menyumbang kepada stok penimbal negeri.

“Pendekatan itu penting kerana stok yang disimpan perlu diganti secara berterusan dan tidak boleh bergantung kepada pembelian semata-mata,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan terus meningkatkan stok makanan secara berperingkat sehingga mencapai tahap daya tahan yang lebih kukuh menjelang 2029 atau 2030.

“Langkah tersebut merupakan strategi jangka panjang Selangor bagi mengurangkan risiko sekiranya berlaku krisis makanan, gangguan import atau kejutan terhadap rantaian bekalan global,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here