Foto: FB Hilmi Abdullah

KOTA BHARU – Golongan remaja berusia 13 hingga 19 tahun di Kelantan mencatat peratusan gejala kemurungan sederhana hingga teruk sebanyak 29.5 peratus dalam saringan kesihatan mental yang dijalankan di negeri itu pada 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata golongan dewasa berusia 20 hingga 39 tahun pula mencatat peratusan tertinggi bagi gejala kebimbangan sederhana hingga teruk iaitu 47 peratus.

Dapatan itu menunjukkan golongan muda merupakan antara kumpulan yang memerlukan perhatian khusus menerusi pendekatan promosi, pengesanan awal, intervensi awal dan sokongan psikososial secara berterusan, katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) mengenai status kesihatan mental belia Kelantan.

Hilmi berkata pelbagai program intervensi awal, kaunseling komuniti dan sokongan psikososial telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negeri bagi membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata antara program yang dijalankan adalah Program Komuniti Minda Sejahtera (K-MINDSET), latihan pencegahan bunuh diri (MySAVE), penyediaan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) kepada mangsa krisis dan bencana serta program pemulihan psikososial (PSR).

“Setakat ini, setiap daerah mempunyai dua lokaliti K-MINDSET dengan jumlah sukarelawan 164 orang. Modul khas kesihatan mental remaja dan belia turut dibangunkan menggunakan pendekatan interaktif seperti gamifikasi bagi menarik perhatian golongan sasaran,” katanya.

Hilmi berkata sebanyak 15 talian psikososial khas MHPSS Kelantan turut disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan sokongan psikologi, nasihat serta bantuan awal dengan lebih cepat.

Bagi memudahkan masyarakat mendapatkan saringan awal, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut menyediakan platform saringan Minda Sihat secara dalam talian, katanya.

Beliau berkata menerusi platform itu, orang ramai boleh menjalani saringan kendiri, mendapatkan keputusan dengan segera serta memperoleh maklumat berkaitan saluran bantuan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here