Zahari (kanan) merasmikan pembukaan premis pameran baharu AF Energy Group di One Krubong, Melaka bersama Muhammad Hanaffi (kiri).

MELAKA – Tak sanggup melihat anak kecil berpeluh dan kepanasan di rumah antara alasan pelanggan sanggup berhutang bagi mendapatkan penyaman udara ketika cuaca panas melampau melanda negara ketika ini.

Situasi itu turut menyaksikan permintaan terhadap penyaman udara meningkat sehingga 60 peratus berbanding kebiasaan, termasuk sebuah syarikat peralatan elektrik di negeri ini merekodkan jualan kira-kira 30 unit sehari.

Pengarah AF Energy, Muhammad Hanaffi Saleh berkata, penyaman udara kini dilihat sebagai satu keperluan berbanding barangan mewah susulan keadaan cuaca panas yang berpanjangan.

“Ramai pelanggan memberitahu mereka tidak sampai hati melihat anak kecil berpeluh dan kepanasan di dalam rumah.

“Jadi, walaupun keadaan ekonomi mencabar, mereka tetap memilih untuk mendapatkan penyaman udara, malah hampir semua pelanggan memilih bayaran secara ansuran,” katanya.


Muhammad Hanaffi (kiri) memberi penerangan kepada Zahari (kanan) permintaan terhadap penyaman udara meningkat sehingga 60 peratus berbanding kebiasaan sehingga merekodkan jualan kira-kira 30 unit sehari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pembukaan premis pameran baharu AF Energy Group di One Krubong, di sini yang disempurnakan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil.

Muhammad Hanaffi berkata, pihaknya menyediakan kemudahan bayaran secara berperingkat bagi membantu pelanggan memiliki penyaman udara tanpa perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus.

Katanya, harga penyaman udara yang ditawarkan bermula sekitar RM800 bergantung kepada model dan jenis, termasuk penyaman udara inverter serta bukan inverter.

“Pelanggan kini lebih berhati-hati dalam memilih model dan kebanyakannya cenderung kepada jenis yang menjimatkan tenaga kerana mahu mengurangkan kos penggunaan dalam jangka panjang.

“Selain jualan, kami turut menyediakan perkhidmatan pemasangan terus kepada pelanggan,” katanya.

Muhammad Hanaffi berkata, keadaan berkenaan turut menyebabkan penyaman udara tidak lagi dilihat sebagai kemudahan eksklusif, sebaliknya semakin menjadi sebahagian daripada keperluan isi rumah.

“Kita dapat lihat perubahan corak pembelian pelanggan apabila mereka sanggup mengambil kemudahan ansuran semata-mata untuk mendapatkan keselesaan di rumah,” katanya.

Sementara itu, Zahari berkata, kejayaan syarikat berkenaan juga boleh dijadikan contoh kepada golongan muda lain supaya tidak melihat bidang teknikal sebagai perniagaan kecil-kecilan semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast