Wan Rosdy merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Dewan Sri Mahkota, POLISAS hari ini.

KUANTAN – Pahang menyasarkan untuk muncul sebagai antara negeri paling maju di Semenanjung Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu didorong perkembangan positif ekonomi, pelaburan, pelancongan serta pembangunan infrastruktur.

Tambahnya perkembangan semasa menunjukkan negeri itu kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Antara petunjuk positif ialah kadar pengangguran yang berjaya diturunkan daripada 2.2 peratus kepada 1.3 peratus selain peningkatan kehadiran pelancong ke Pahang.

“Masa depan Pahang, insya-Allah, dan tidak mustahil Pahang akan menjadi negeri paling maju di Semenanjung Malaysia dalam lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Dewan Sri Mahkota, POLISAS di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, pembangunan infrastruktur akan terus diperkasakan sebagai antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri termasuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan penambahbaikan Pelabuhan Kuantan.

Menurutnya, pembangunan kedua-dua infrastruktur berkenaan dijangka memberi impak besar dalam menarik lebih banyak pelaburan ke Pahang, sekali gus membuka peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat.

Justeru kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta meyakinkan pelabur untuk terus memilih Pahang sebagai destinasi pelaburan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, peranan POLISAS perlu bergerak seiring dengan perubahan dan pembangunan pesat yang sedang dilalui Pahang.

Katanya, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan POLISAS akan terus diperkukuh, khususnya dalam pembangunan bakat serta penyediaan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri.

“Saya yakin dengan pengalaman 50 tahun yang dimiliki, kekuatan warga kerja, kesungguhan para pelajar dan alumni serta kerjasama kerajaan negeri dan pihak industri, POLISAS mampu melangkah lebih jauh.

“Kalau 50 tahun yang lalu POLISAS mampu membina nama dan melahirkan lebih 60,000 graduan, saya percaya 50 tahun yang akan datang boleh membawa kejayaan yang jauh lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, POLISAS juga mempunyai peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pahang.

Menurutnya, hubungan antara institusi TVET dengan industri perlu terus diperkukuh supaya latihan dan kemahiran yang diperoleh pelajar benar-benar memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntuk RM5.5 juta menerusi Belanjawan Pahang 2026 bagi memperkukuh pendidikan dan latihan TVET.

Peruntukan itu antaranya digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan latihan Pahang Skills, program TVET Pahang Talent Development serta Akademi Rel Pahang.

Wan Rosdy berkata, usaha berkenaan selari dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st khususnya dalam membangunkan bakat tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi dan mampu memenuhi keperluan industri.

Katanya, pembangunan Pahang tidak hanya bergantung kepada pelaburan dan infrastruktur sebaliknya memerlukan modal insan berkualiti bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup rakyat.

“Pahang sedang bergerak ke satu fasa pembangunan baharu. Dalam perjalanan itu, kita memerlukan institusi seperti POLISAS untuk terus melahirkan tenaga kerja yang menjadi penggerak kepada kemajuan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, ujar Wan Rosdy,  Belanjawan Pahang 2027 dijangka lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan perancangan yang lebih menyeluruh bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan.

Beliau berkata demikian susulan kerajaan negeri baru selesai mengadakan pemukiman selama dua hari bagi memperincikan perancangan Belanjawan Pahang 2027 dengan mengambil kira keperluan rakyat serta agenda pembangunan negeri, di Seremban baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here