SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menolak tanggapan bahawa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hanya berperanan membina rumah mampu milik atau sedang berdepan masalah hutang bernilai berbilion ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin menegaskan, PKNS mempunyai tanggungjawab lebih luas malah kedudukan kewangannya menunjukkan gambaran berbeza daripada dakwaan berhubung hutang besar yang membebankan syarikat itu.

“PKNS berperanan membangunkan kawasan perumahan, industri dan komersial selain menyuntik aktiviti sosial serta ekonomi di Selangor.

“Kini PKNS mempunyai aset keseluruhan sekitar RM15.66 bilion dengan nilai ekuiti sebanyak RM6.86 bilion.

“Malah gearing PKNS berjaya diturunkan daripada 0.48 pada 2021 kepada 0.41 pada 2025,” katanya berucap ketika menggulung Rancangan Selangor kedua (RS2) pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin juga berkata, kedudukan kewangan tersebut membolehkan PKNS bergerak dalam sektor pembangunan hartanah, industri, tenaga dan rejuvenasi bandar.

“Antara projek yang disebut termasuk Shah Alam Sentral, Pulau Indah Power Plant, rangkaian hospital SELGATE serta perancangan pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan tanah di Bernam Jaya, PKNS telah menamatkan urusan penjualan tanah terbabit bersama Eastern Ecotourism City Sdn Bhd.

“Tanah berkenaan akan diteroka menerusi strategi baharu dengan memanfaatkan kedudukannya berhampiran Lembah Beringin Auto Valley,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri melihat kawasan itu mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai hab industri automotif termasuk kenderaan elektrik.

“Selangor tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi kenderaan elektrik tetapi turut mahu melahirkan syarikat tempatan yang terlibat dalam rantaian teknologi EV,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast