MELAKA – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengelak daripada menjawab soalan wartawan berhubung tindakannya berundur daripada jawatan nombor dua parti itu hari ini.
Nurul Izzah yang menjadi tumpuan media selepas menyatakan komitmennya untuk terus berjuang menerusi wadah berbeza, tidak memberikan sebarang komen ketika didekati wartawan.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu merasmikan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Beliau terus beredar walaupun wartawan menunggu agak lama untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusannya itu.
Malah, Nurul Izzah turut dikejar wartawan bagi mendapatkan reaksi susulan, namun beliau tidak berhenti untuk menjawab sebarang soalan.
Beliau sebelum itu meluangkan masa melawat reruai pameran sebelum bergambar bersama perwakilan yang menghadiri kongres berkenaan.
Dalam ucapan perasmian sebelum itu, Nurul Izzah berkata, beliau memilih untuk terus berjuang, namun bukan secara terus dalam parti sebaliknya menerusi laluan masyarakat madani
“Saya memilih untuk terus berjuang, bukan secara terus dalam parti, tapi menerusi laluan masyarakat madani.
“Kamu tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi kamu hanya boleh kekal setia kepada diri sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Nurul Izzah dilaporkan menyatakan hasrat berundur sebagai Timbalan Presiden PKR, namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatannya.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Nurul Izzah memohon masa untuk menguruskan diri selain menyiapkan dan meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD). – MalaysiaGazette
















