KUALA LUMPUR – Daripada seorang suri rumah tanpa pengalaman dalam pertanian komersial, Norhaslaily Che Mohd Nor, 42, kini mampu menghasilkan hampir satu tan cili selepas menyertai Program Hijrah Asnaf Tanaman Fertigasi Cili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Wanita dari Gombak itu antara 10 penerima zakat yang diberi peluang membina sumber pendapatan sendiri menerusi program berkenaan, sekali gus membuka laluan untuk mengubah kehidupan daripada penerima bantuan kepada individu yang mampu berdikari.
Bagi Norhaslaily, perjalanan menjadi usahawan tani bukan mudah apabila dia perlu menyesuaikan diri dengan rutin di kebun serta berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Bila musim menuai, waktu kerja tidak menentu. Ada masanya dari pagi sampai malam dan semuanya bergantung kepada keadaan cuaca.
“Memang kena kuat dari segi mental dan fizikal. Tetapi apabila sudah mula petik cili dan tengok sendiri hasil yang diperoleh, kita rasa segala usaha dari awal itu berbaloi,” katanya ketika ditemui di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, di sini hari ini.

Antara cabaran terbesar dihadapinya ialah ketika ribut melanda kawasan tanaman sewaktu pokok cili baru berusia lebih sebulan, menyebabkan kira-kira 40 hingga 50 pokok tumbang ketika buah masih hijau.
Bagaimanapun, cili yang masih boleh digunakan tidak dibuang, sebaliknya diproses menjadi sambal hijau untuk dijual bagi mengurangkan kerugian.
Pengalaman itu membuka perspektif baharu kepada Norhaslaily bahawa hasil pertanian bukan hanya untuk dijual dalam bentuk mentah, sebaliknya boleh dipelbagaikan menjadi produk bernilai tambah.
Lebih penting, dia menyimpan impian untuk tidak selama-lamanya berada dalam kelompok penerima bantuan zakat.“Sasaran kita memang mahu berubah daripada penerima zakat kepada pembayar zakat.
“Saya sangat berterima kasih kepada MAIWP dan pembayar zakat kerana daripada sumbangan mereka, kami mendapat peluang seperti ini,” katanya.

Sementara itu, peserta lain, Khairul Safridal, 42, dari Sentul berkata, dia tidak pernah mempunyai pengalaman mengusahakan tanaman menggunakan sistem fertigasi sebelum menyertai program itu pada April lalu.
Menurutnya, pengalaman menanam cili sebelum ini hanya secara kecil-kecilan menggunakan kaedah konvensional di sekitar rumah.
“Kalau sebelum ini, biasa kita tanam di tepi rumah terus ke tanah. Apabila masuk program ini, barulah saya tahu sistem fertigasi mempunyai kaedah dan penjagaan yang berbeza.
“Kami diberikan jadual dan tunjuk ajar termasuk mengenai baja, racun, cara penanaman dan bagaimana menguruskan sistem fertigasi,” katanya.

Khairul melihat projek itu berpotensi meningkatkan taraf hidup asnaf sekiranya ilmu dan pengalaman yang diperoleh digunakan untuk meneruskan kegiatan pertanian secara lebih serius.
Katanya, satu musim tanaman berpotensi menghasilkan nilai sekitar RM40,000 hingga RM50,000, sebelum mengambil kira kos pengurusan dan perbelanjaan.
“Selepas ditolak kos, anggaran yang boleh diperoleh sekitar RM30,000 bagi satu musim. Kalau setahun dapat buat dua musim, ia memang boleh membantu meningkatkan taraf hidup asnaf,” katanya.

















