Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Is. Mohd Nizam Yahya menziarahi penerima bantuan, Musbah Zailani Zulkifli pada Program Ziarah Asnaf Siri 3 Tahun 2026/1448H di PPR Laksamana, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OGOS 2026.

 

KUALA LUMPUR –  Baru sembilan hari kehilangan suami akibat komplikasi penyakit kencing manis, seorang ibu tunggal menarik nafas lega selepas menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Musbah Zailani Zulkifli, 37, berkata, bantuan itu datang pada saat paling diperlukan ketika dia kini perlu menyara tiga anaknya seorang diri.

Suaminya meninggal dunia pada 5 Ogos lalu selepas sekian lama tidak mampu bekerja akibat masalah kesihatan, menyebabkan Musbah menjadi tulang belakang keluarga.

“Saya benar-benar tidak sangka akan menerima bantuan seperti ini. Sebagai ibu tunggal, saya terlalu banyak memikirkan masalah keluarga dan tidak pernah terfikir bantuan akan datang secara tiba-tiba begini.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana bantuan ini benar-benar meringankan beban saya,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Asnaf Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Siri 3 Tahun 2026 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, di sini.

Menurut Musbah, sepanjang suaminya sakit dan tidak lagi mampu bekerja, kebanyakan perbelanjaan keluarga ditanggungnya menerusi pekerjaannya sebagai Pembantu Khidmat Am di sebuah sekolah berhampiran.

“Apabila bantuan daripada Pusat Pungutan Zakat MAIWP ini datang, memang sangat saya perlukan pada masa sekarang. Dengan bantuan ini, anak-anak saya dapat terus terbela walaupun ayah mereka sudah tiada,” katanya dengan nada sebak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyantuni penduduk ketika hadir pada Program Ziarah Asnaf Siri 3 Tahun 2026/1448H di PPR Laksamana, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OGOS 2026.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, MAIWP bukan sahaja menyalurkan bantuan kewangan, malah mengenal pasti keperluan khusus setiap keluarga bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi manfaat.

“Alhamdulillah, sebentar tadi saya menziarahi sebuah keluarga yang anaknya memerlukan bantuan. MAIWP telah memberikan sumbangan bulanan dan tahunan untuk membantu keluarga ini meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Kita juga mengenal pasti beberapa keperluan baharu seperti katil dan kerusi roda, dan perkara itu akan disediakan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan mencerminkan usaha MAIWP memastikan golongan asnaf bukan sekadar menerima bantuan untuk keperluan harian, tetapi turut dibantu meningkatkan taraf hidup dan berdikari.

“Kepada para pembayar zakat, terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Kami akan berusaha memastikan setiap wang zakat sampai kepada golongan asnaf dan dapat membantu membina masyarakat,” katanya.

Program berkenaan turut menyantuni dua lagi keluarga asnaf yang berdepan cabaran termasuk menjaga anak orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.

Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Is. Mohd Nizam Yahya.

Sehingga 12 Ogos 2026, MAIWP telah mengagihkan RM699.57 juta dana zakat menerusi 38 skim bantuan yang meliputi pelbagai keperluan asnaf, selain bantuan tidak langsung melalui program pembangunan asnaf dan institusi pendidikan milik MAIWP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here