Zainuddin Adan

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa penjelasan terperinci mengenai pelaburan RM43 bilion bertujuan memodenkan grid elektrik negara tetapi kesannya mengakibatkan peningkatan bil elektrik yang kini terpaksa ditanggung rakyat.

Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Suruhanjaya Tenaga serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu menjelaskan perkara itu kerana rakyat berhak mengetahuinya.

“Peningkatan bil elektrik dan struktur caj kini ditanggung oleh rakyat. Justeru, Pejuang Johor menyeru agar pihak berkaitan memberikan penjelasan terperinci mengenai RM43 bilion pelaburan grid tersebut.

“Bagaimana pelaburan itu dimasukkan dalam kerangka tarif, berapa bahagiannya berkaitan dengan keperluan industri dan pusat data serta sejauh mana pengguna domestik menanggung kos berkenaan.

“Rakyat juga perlu diberikan penerangan yang mudah difahami mengenai tarif asas, pelarasan bahan api, caj kapasiti, caj rangkaian, dana tenaga boleh baharu dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) supaya setiap pengguna mengetahui dengan jelas apa yang sebenarnya mereka bayar setiap bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengguna berhak mengetahui dengan jelas apakah komponen yang membentuk bil elektrik mereka serta bagaimana kos pembangunan dan pengukuhan grid negara diterjemahkan dalam struktur tarif.

Beliau mengakui pelaburan besar TNB bertujuan memperkukuh dan memodenkan grid elektrik negara termasuk pelaburan RM43 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2027 penting bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik serta memenuhi pertumbuhan permintaan tenaga, termasuk daripada sektor industri dan pusat data.

Namun katanya, rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai bagaimana kos pelaburan tersebut dikira, dibiayai dan diterjemahkan dalam struktur tarif elektrik.

Dalam masa sama katanya, TNB mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh pada 2025 dengan pendapatan sebanyak RM67.72 bilion dan keuntungan bersih RM4.77 bilion.

Pencapaian itu katanya, tidak bermakna keuntungan TNB merupakan punca secara langsung kepada kenaikan bil elektrik.

“Namun, apabila rakyat semakin terbeban dengan kos sara hidup dan perlu membayar bil utiliti yang meningkat, persoalan mengenai hubungan antara kos operasi, pembangunan grid, struktur tarif dan pulangan kepada syarikat adalah sesuatu yang wajar dijawab secara terbuka.

“Pejuang Johor berpandangan bahawa kos pembangunan grid yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan industri berskala besar perlu diagihkan secara adil berdasarkan prinsip siapa yang menggunakan dan menyebabkan keperluan kapasiti tambahan, maka sewajarnya kos tersebut dipertimbangkan secara seimbang,” tegasnya.

Pengguna domestik kecil tidak seharusnya menanggung beban tidak sepadan dengan penggunaan atau manfaat yang mereka terima, katanya lagi.

Pejuang Johor menegaskan bahawa mereka tidak menolak pembangunan grid atau kemajuan industri.

Sebaliknya ujar Zainuddin, pihaknya hanya mahu pembangunan tersebut dilaksanakan dengan prinsip ketelusan, keadilan dan akauntabiliti agar manfaat pertumbuhan ekonomi tidak hanya dinikmati oleh sektor tertentu sedangkan kosnya akhirnya ditanggung oleh rakyat secara keseluruhan.

“Rakyat bukan menolak pembangunan. Rakyat hanya mahu memastikan kos pembangunan dibayar secara adil dan telus. Ketelusan dalam struktur tarif elektrik adalah asas kepada kepercayaan rakyat,” tambahnya .

Justeru, tambahnya, Pejuang Johor menggesa kerajaan, Suruhanjaya Tenaga dan TNB tampil memberikan penjelasan lengkap supaya rakyat tidak lagi hanya melihat angka bil meningkat, tetapi benar-benar memahami ke mana setiap ringgit yang mereka bayar disalurkan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here