MELAKA – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, menempelak pihak yang mengkritiknya kerana menyuarakan pendirian supaya kerajaan meneliti semula isu berkaitan kuota BUDI95, termasuk cadangan pemulangan kuota kepada 300 liter sebulan.
Beliau berkata, pendirian itu bukan dibuat atas kapasiti peribadi atau peranannya sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan sebaliknya daripada suara anggota AMK, rakyat dan masyarakat yang dibawa melalui platform Kongres Nasional PKR.
“Kadang-kadang bila saya nyatakan satu-satu pendirian tu, orang akan kritik pada saya, orang kata, ‘Kau pusing-pusing apa hal? Kau Setiausaha Politik (Menteri Kewangan) kau pergilah cakap dekat PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) Kau melalak atas pentas buat apa,” katanya pada sidang Beliau berkata demikian pada media sempena Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Beliau berkata, kritikan sedemikian tidak wajar kerana beliau menyuarakan pendirian itu atas kapasiti sebagai Ketua AMK selepas mendengar pandangan daripada anggota parti di peringkat akar umbi serta rakyat.
Kamil menegaskan, pendirian mengenai perkara itu juga bukan hanya datang daripada AMK sebaliknya Pemuda Angkatan Muda Harapan sebelum ini turut mengambil pendekatan sama dalam menyuarakan pandangan berkaitan kepentingan rakyat.
“Pemuda Angkatan Muda Harapan juga telah mengambil pendirian dan juga pendekatan yang sama kerana kita yakin jika ini dapat dilakukan kesannya itu merentasi semua segmen.
“Sebarang penambahbaikan terhadap mekanisme berkenaan akan memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat, daripada T20 kepada M40 dan juga kepada B40,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu penting kerana dasar yang memberi kelegaan kepada rakyat mampu menjadi faktor positif dalam meningkatkan keyakinan terhadap kerajaan.
“Dan ini adalah satu keputusan yang bagi kami akan memberi feel-good faktor kepada rakyat.
“Ini supaya masyarakat terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan polisi-polisi serta dasar-dasar yang mampu memberikan kelegaaan dan juga kesejahteraan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















