KUALA LUMPUR – Seramai 48 orang pelajar Diploma Perhubungan Awam dari Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) akan menganjurkan Suara Hutan 2026: ‘Keep the Gibbons Singing’, sebuah kempen kesedaran sosial dan pengumpulan dana yang diterajui oleh pelajar.
Kempen ini akan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos 2026, dari jam 11 pagi hingga 8 malam, GMBB di sini.
Dianjurkan bersama Gibbon Conservation Society (GCS) sebagai rakan penerima manfaat, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan ungka di Malaysia serta menggalakkan tingkah laku bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan peserta, khususnya kanak-kanak dan golongan belia.
Kempen ini turut mempromosikan kelestarian dan perlindungan hidupan liar melalui pelbagai program pendidikan yang menarik.
Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada GCS bagi menyokong usaha pemulihan ungka mereka.
Kemuncak kempen ini ialah fasa ‘RESCUES’, sebuah aktiviti interaktif yang menampilkan sembilan gerai permainan yang membolehkan peserta merasai sendiri cabaran yang dihadapi oleh ungka serta memahami proses pemulihan mereka, bermula daripada penyelamatan, pemulihan sehingga pelepasan semula ke habitat semula jadi.
Kempen ini turut menampilkan beberapa bengkel kreatif yang boleh disertai oleh para pengunjung, serta pameran pendidikan yang mengetengahkan kepentingan melindungi dan memulihara ungka di Malaysia.
Pameran tersebut turut dilengkapi dengan hasil karya seni asli kanak-kanak yang diinspirasikan oleh ungka .
“Suara Hutan 2026, seperti kebanyakan kempen yang diterajui oleh pelajar TAR UMT, merupakan sebahagian daripada pengalaman Beyond Education yang memberikan peluang kepada TARCians untuk belajar, melibatkan diri dan membawa perubahan di luar bilik darjah. Saya berbangga dengan kumpulan TARCians ini kerana meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan ungka.
“Ungka merupakan sebahagian daripada warisan semula jadi Malaysia, dan melalui kempen ini, para pelajar kami memainkan peranan dalam melindungi dan memeliharanya,” kata Professor Datuk Ir. Dr. Lee Sze Wei, Presiden TAR UMT.
“Setiap ungka berhak untuk hidup bebas di hutan yang merupakan habitat asalnya. Melalui Suara Hutan 2026, kami berharap dapat mengingatkan semua pihak bahawa apabila kita melindungi ungka, kita turut melindungi hutan, biodiversiti serta masa depan warisan semula jadi kita,” kata Lim Jia Le, Pengerusi Suara Hutan 2026. – MalaysiaGazette
















