Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan pengurangan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter adalah satu keputusan yang tidak tepat dan perlu dikembalikan kepada 300 liter dengan segera.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, dengan kos sara hidup yang terus meningkat, simpanan dan kuasa beli rakyat semakin terhakis.

Kini, menurutnya, walaupun mempunyai simpanan persaraan sebanyak RM1 juta, jumlah tersebut juga dianggap belum tentu mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

Lim Guan Eng

“Saya menggesa Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, supaya memahami tekanan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat dan mengembalikan kuota subsidi BUDI95 kepada 300 liter sebulan,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Tambah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, kerajaan perlu memainkan peranan melalui dasar yang dapat membantu rakyat mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Menurutnya, kos bahan api merupakan antara perbelanjaan penting bagi kebanyakan rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja dan menjalankan urusan harian.

Katanya, ketika kos sara hidup terus meningkat, kerajaan sepatutnya mengurangkan beban rakyat, bukannya mengurangkan lagi bantuan atau subsidi yang dapat membantu meringankan tekanan kewangan mereka.

“Ramai rakyat telah mengadu bahawa selepas kuota BUDI95 dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, jumlah tersebut tidak lagi mencukupi untuk keperluan harian mereka.

“Oleh itu, saya berharap YAB Dato’ Seri Anwar dapat mendengar suara dan keluhan rakyat serta mempertimbangkan untuk mengembalikan kuota BUDI95 kepada 300 liter sebulan bagi pengguna individu dan peniaga,” katanya.

Tambahnya, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban rakyat dan memberikan ruang untuk mereka mengurus perbelanjaan harian dengan lebih baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here