KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menepis kebimbangan para guru yang mana pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah akan meletakkan segala-galanya sebagai tanggungjawab golongan pendidik berkenaan.
Menurut beliau, polisi itu bukan untuk meletakkan seluruh beban menjaga keselamatan murid di bahu guru, sebaliknya bagi mewujudkan kerangka yang lebih jelas tentang siapa perlu melakukan apa apabila timbul kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan seorang murid.
Jelasnya, sama ada Kementerian Pendidikan (KPM); Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing mempunyai tanggungjawab dalam soal keselamatan murid.
Malah, ujarnya, guru dan kakitangan sebagai barisan hadapan turut mempunyai peranan, begitu juga pihak polis; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ibu bapa dan pihak berkaitan yang menjadi sebahagian daripada ekosistem perlindungan murid.
“Apa yang kita perlukan daripada guru ialah jangan diam apabila ada kebimbangan terhadap keselamatan seorang anak.
“Apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah, laporkan segera kepada pentadbir. Guru tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bukti yang lengkap untuk melapor.
“Selepas itu, kes perlu diselaraskan, tindakan ditentukan mengikut jenis dan tahap kes serta dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan apabila diperlukan,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Menurut Fadhlina, pihaknya mahu tatacara itu memberikan kejelasan kepada guru tentang apa yang perlu dilakukan, dan pada masa yang sama memastikan anak-anak tidak melalui trauma berulang akibat pengendalian kes yang tidak sewajarnya.
“Saya faham, satu dokumen tidak akan menjawab semua persoalan.
“Sebab itu penerangan dan libat urus mesti diteruskan sehingga guru benar-benar memahami peranan mereka, tahu batas tanggungjawab mereka dan yakin tentang tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan sesuatu kes,” katanya.
Dalam masa sama, tambah Fadhlina, pihaknya juga tidak mahu guru dibiarkan bersendirian ketika melindungi murid, malah tidak akan membiarkan guru-guru menghadapi ujian bersendirian.
Sebaliknya, kata beliau, KPM sentiasa peka dan bantuan guaman turut disediakan kepada guru yang memerlukan berdasarkan kesesuaian dan keperluan kes.
“Kita mahu anak-anak selamat. Kita juga mahu guru jelas, yakin dan tahu bahawa ada sistem yang berdiri bersama mereka.
“Melindungi anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Guru tidak harus memikulnya sendirian,” katanya.
Sambil menggesa para guru tidak bimbang, Fadhlina berkata, polisi itu bukan untuk mencari siapa yang boleh dipersalahkan apabila sesuatu berlaku, apatah lagi untuk menjadikan guru sebagai kambing hitam.
Sebaliknya, ujar beliau, polisi itu bertujuan melindungi murid, dan guru, sekali gus mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat.
Terdahulu, kata Fadhlina, beliau mendengar kegusaran yang dibangkitkan para guru sejak kebelakangan ini susulan pelaksanaan polisi itu khususnya tentang tanggungjawab mereka apabila berlaku sesuatu kepada murid.
Disebab itu, tambahnya, beliay telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan untuk meneruskan sesi libat urus dan penerangan supaya setiap persoalan guru dapat dijawab dengan jelas.
“Sejak awal lagi, KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama dengan pelbagai pemegang taruh termasuk JPN, PPD, NUTP, Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan, SUHAKAM, UNICEF, ARUS Academy, Buku Jalanan Chowkit serta beberapa NGO lain.
“Tetapi bagi saya, kalau selepas semua itu masih ada guru yang belum jelas atau masih bimbang, maknanya kerja penerangan kita masih belum selesai.
“Sesi penerangan seterusnya akan bermula malam ini dan rakamannya juga akan dimuat naik supaya ia boleh dirujuk oleh guru-guru,” katanya. – MalaysiaGazette
















