MELAKA – Pemimpin PKR diingatkan supaya tidak terlalu menjaga hati rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO sehingga sanggup mengorbankan suara, prinsip dan kepentingan parti sendiri.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fadzli Roslan berkata, sudah tiba masa pemimpin PKR berhenti menjadi people pleaser dan berani mempertahankan parti serta presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, PKR tidak boleh terlalu memikirkan hati rakan dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhirnya parti sendiri dipersoalkan oleh akar umbi.
“Cukup-cukuplah nak jaga hati kawan ini (UMNO). Hati kita siapa nak jaga?” soalnya ketika membahaskan usul ucapan dasar Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, pada Kongres AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Fadzli berkata, AMK sepatutnya menjadi ‘perisai’ kepada PKR dan tidak membiarkan parti serta presidennya diperkotak-katikkan oleh pihak luar.
“Jangan biarkan orang luar perkotak-katikkan dan presiden kita,” tegasnya.
Beliau pada masa sama mengingatkan pemimpin PKR supaya tidak terlalu takut kehilangan sokongan rakan politik sehingga memilih untuk berdiam diri apabila kepentingan parti terjejas.
“Dalam politik, kita boleh berkawan dengan sesiapa tetapi jangan sampai kerana mahu menjaga hati kawan, kita lupa siapa yang kita perjuangkan dan siapa yang berada di belakang kita,” katanya.
Fadzli menegaskan, PKR tidak sepatutnya menerima persepsi parti itu hanya mengikut telunjuk rakan dalam kerajaan khususnya DAP.
Beliau turut mengkritik kenyataan kontroversi pemimpin DAP yang didakwa boleh mengganggu usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan keyakinan rakyat.
“Dalam kita sedang memulihkan ekonomi dan keyakinan rakyat, saya nak tegur pemimpin DAP, kurang-kurangkan kenyataan kontroversi.
“Kasihanlah kepada pemimpin kami yang penat-penat nak pulihkan kerajaan,” katanya.
Menurutnya, PKR boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk UMNO dan DAP namun hubungan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang PKR bersuara.
“Nak kawan, kawan elok-elok. Nak majukan negara, jom sama-sama kita bangunkan. Tapi jangan rosakkan keadaan ini.
“Nak kawan, kita boleh kawan dengan sesiapa tapi jangan ganggu kita nak bangunkan kerajaan, kita nak pulihkan ekonomi untuk rakyat yang kita sayangi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

















PKR ada prinsip ke? Boleh jalan la dengan prinsip bodoh PKR