Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Fuziah Salleh bercakap pada sidang media Perasmian Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR 2026 sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui hadir ke Kongres Nasional 2026 dalam keadaan “luka dan cedera” selepas melalui tempoh mencabar termasuk beberapa kekalahan dalam pilihan raya.

Setiausaha Agungnya, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata,  beberapa pilihan raya yang dilalui parti menguji kekuatan sehingga menyaksikan PKR kehilangan beberapa medan yang selama ini menjadi sandaran perjuangan, termasuk Negeri Sembilan yang pernah diterajui parti.

Menurut beliau, PKR turut berdepan perubahan dalam hubungan politik yang tidak semuanya mudah diterima, termasuk apabila rakan seperjuangan memilih haluan berbeza.

“Namun, kongres ini bukan tempat untuk kita menuding jari, mencari siapa yang salah atau membalas apa yang telah berlaku.

“Sebaliknya, kita perlu cukup matang untuk membaca realiti, cukup jujur untuk mengakui kelemahan dan cukup berani untuk belajar daripada pengalaman,” katanya.

Fuzaih berkata demikan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade and Exhibition Centre (MITC), hari ini.

Fuziah berkata, PKR tidak boleh berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku kerana anggota parti pernah kecewa, sedih dan terluka.

Bagaimanapun, katanya, luka tidak seharusnya menentukan masa depan parti, manakala kekalahan bukan pengakhiran kepada perjuangan.

“Luka bukan pengakhiran dan kekalahan bukan penamat kepada perjuangan. Sejarah parti kita sendiri telah membuktikan setiap kali diuji, kita sentiasa mempunyai pilihan untuk bangkit, memperbaiki diri dan membina semula kekuatan.

“Hari ini, tugas kita bukan untuk terus melihat kepada apa yang telah hilang, tetapi untuk menentukan apa yang mahu kita bina semula, bagaimana kita mahu bangkit dan ke mana kita mahu membawa perjuangan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fuziah menegaskan, PKR tidak boleh menganggap perjuangan parti sudah selesai meskipun berdepan cabaran dan kekalahan.

Beliau berkata, parti masih mempunyai organisasi, wakil rakyat, anggota di seluruh negara serta pengalaman mentadbir yang menjadi asas untuk kembali memperkukuh perjuangan.

“Kita belum selesai. Perjuangan belum selesai,” katanya.

Fuziah turut mengingatkan ahli-ahlinya bahawa PKR pernah melalui tempoh lebih sukar pada 2004 apabila parti hanya mempunyai satu kerusi Parlimen, namun tidak menyerah dan terus membina kekuatan sehingga berjaya bangkit.

“Selagi kita masih mempunyai keberanian untuk memperbaiki diri dan kesetiaan kepada perjuangan, PKR akan sentiasa mempunyai jalan untuk bangkit,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru anggotanya agar kembali kepada semangat asal reformasi melalui usaha memperkukuh idealisme berkaitan keadilan, demokrasi, integriti institusi serta usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Memugar Reformasi” bukan bermaksud mencipta idealisme baharu, sebaliknya menghidupkan kembali idealisme yang pernah menjadi nadi perjuangan PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here