KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli akan mengumumkan calon-calon `bayangan’ untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka malam ini.
Menurut beliau, pengumuman itu akan dibuat di Tapak Parkir di hadapan 906 Primier Hotel (Melaka Baru) bermula pukul 8.30 malam.
Menerusi hantaran dalam laman Facebook, bekas menteri ekonomi itu turut menjemput penduduk berdekatan menyertai program rakyat antaranya aktiviti membasuh pinggan di majlis kenduri sebuah keluarga di Melaka hari ini.
Menurut beliau, kenduri `Bersama’ bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang di rumah Cikgu Fatimah beralamat No. 124, Jalan Kg. Musai, Bukit Piatu.
“Sejak menjadi penganggur, hidup saya makin tertekan. Dahlah tak de gaji, esok saya diberi arahan untuk basuh pinggan di Kenduri Bersama Melaka.
“Saya jemput orang ramai di sekitar Bukit Piatu, Hang Tuah Jaya dan kawasan berdekatan, dari Kota Melaka, Alor Gajah, Jasin untuk hadir ke Kenduri Bersama.
“Kita mula pukul 8.30 pagi dan sama-sama bergotong royong untuk kenduri. Orang ramai di sekitar dijemput hadir. Kalau nak makan tengahari pun boleh.
“Untuk membantu kami uruskan persediaan, saya nak kena tahu berapa pinggan saya nak kena basuh ni, boleh daftar kehadiran anda di laman bersama.org.
“Klik `Acara’ dan pilih program-program yang anda akan hadir. Selain makan boleh check darah di kaunter pemeriksaan kesihatan, ada kaunter bantuan guaman.
“Ada taklimat kerjaya, ada bengkel robotik, ada eGames untuk yang muda-muda,” ujarnya.
Beliau turut menjemput penduduk berdekatan untuk bersukan dengan menyertai Futsal Bersama di Kompleks Sukan Batu Berendam. – MalaysiaGazette
















