BANGI – Bagi meringankan beban pelajar baharu yang bakal mendaftar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan, kemudahan serta sokongan sepanjang tempoh pengajian.
Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh, pendekatan menyantuni pelajar baharu terus menjadi keutamaan universiti dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian.
“Universiti menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan menerusi pendekatan ‘Tiada Yang Tertinggal’ sebagai manifestasi komitmen Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dalam memastikan setiap pelajar mendapat perhatian, sokongan dan akses kepada bantuan yang sewajarnya agar mereka dapat mengikuti pengajian dengan lebih yakin dan selesa,” katanya.
Beliau berkata antara bentuk bantuan dan kemudahan yang disediakan termasuk Bantuan Yuran Pendaftaran, Sara Diri, Bantuan Yuran Pengajian, Dapur Siswa, Menu Kasih Siswa, Dompet Siswa serta Tabung Kebajikan Pelajar/Zakat.
“Selain itu, pelajar turut mendapat akses kepada kemudahan kaunseling, permohonan biasiswa dan pinjaman pelajaran, Bilik Asnaf, Gerobok Makanan serta sumbangan pendidikan, mobiliti dan perubatan, tertakluk kepada syarat dan terma kelayakan yang ditetapkan,” tambah beliau.
Dalam usaha memperkasa kebolehupayaan pelajar mengurus keperluan kewangan sepanjang berada di universiti, Prof. Dr. Sufian berkata HEP-UKM turut menyediakan peluang pekerjaan melalui program kerja sambilan dalam kampus menerusi inisiatif Job on Campus (JOC).
“Inisiatif ini membuka ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman bekerja, membina kemahiran insaniah serta menjana pendapatan secara fleksibel tanpa menjejaskan komitmen akademik.
“Selain itu, bantuan barang kelengkapan masuk universiti turut disediakan kepada pelajar yang memenuhi kriteria ditetapkan,” ujarnya.
Tambah beliau Program Jejak Kasih Tekad Siswa akan mula dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon bagi memastikan usaha menyantuni, membantu dan memperkasa mahasiswa dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersasar dan menyeluruh.
“Sebagai tanda cakna dan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa, UKM turut menyalurkan bantuan kepada pelajar sedia ada yang terpilih menerusi Program Ziarah Kasih Siswa, yang dilaksanakan di beberapa negeri bagi menyantuni serta membantu pelajar yang memerlukan,” katanya.
Pelbagai inisiatif kebajikan ini mencerminkan pendekatan HEP-UKM yang menitikberatkan aspek kemenjadian mahasiswa secara holistik, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa yang berdaya tahan, prihatin, berdaya saing dan mampu mengurus cabaran kehidupan sepanjang berada di kampus.
“HEP-UKM menggalakkan mereka (pelajar) yang berdepan kesulitan untuk tampil mendapatkan bantuan, agar setiap pelajar dapat meneruskan pengajian dengan lebih yakin, selesa dan berdaya saing.
“Inisiatif ini turut memperkukuh aspirasi HEP-UKM dalam membentuk ekosistem kampus yang lebih inklusif, prihatin dan responsif terhadap keperluan mahasiswa, berteraskan semangat Iman, Ilmu, Amal serta slogan Jati Diri Diperkasa, Kemenjadian Terbina.
“Tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Semoga perjalanan sebagai warga UKM dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk menimba ilmu, membina pengalaman serta mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing,” katanya.
Pelajar yang memerlukan bantuan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mendapatkan khidmat nasihat dan rujukan melalui Sistem ePrihatin dan Sistem Halo Kaunselor HEP-UKM, selain menghubungi pihak HEP-UKM ditalian 03-8921 3573 untuk mendapatkan panduan berkaitan bentuk bantuan yang bersesuaian. – MalaysiaGazette
















